Perkembangan vaksin COVID-19 mengukuhkan ringgit | DagangNews Skip to main content

Perkembangan vaksin COVID-19 mengukuhkan ringgit

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Ringgit memulakan dagangan pagi ini lebih tinggi pada RM4.1020/4.1070 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Semalam, mata wang tempatan itu ditutup pada RM4.1140/1190. 

Menurut HLIB Research, perkembangan mengenai vaksin COVID-19 dijangka memberi kelebihan kepada mata wang tempatan itu. 

"Bagaimanapun, kami 'neutral' terhadap kadar ringgit yang mengukuh minggu ini memandangkan sentimen risiko yang baik akan menampan kadar dolar AS yang berubah-ubah akibat peralihan presiden AS dan keadaan pandemik COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Semalam, Reuters melaporkan, vaksin COVID-19 yang dibangunkan syarikat bioteknologi AS, Moderna didakwa berkesan 94.5% mencegah jangkitan virus tersebut berdasarkan data awal ujian klinikal fasa akhir.

Pengumuman itu menjadikan Moderna syarikat kedua yang berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 selepas Pfizer, yang dilaporkan mempunyai kadar keberkesanan sehingga 90%. 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.1081 dan RM4.1136 manakala paras rintangan antara RM4.1222 dan RM4.1262. 

"Ringgit semalam mengukuh 0.19%  tertinggi dalam tempoh seminggu," katanya. 

Berbanding mata wang lain, ringgit susut 0.12% kepada RM4.880 berbanding euro dan 0.16% kepada RM5.435 berbanding pound. 

Bagi mata wang serantau, ringgit susut 0.04% kepada RM3.059 berbanding dolar Singapura. 

"Dolar AS pula jatuh 0.21% kepada 92.556, terendah dalam tempoh 4 hari memandangkan pelabur masih berhati-hati antara peningkatan kes COVID-19 dan kecenderungan terhadap perkembangan vaksin yang boleh menggerakkan semula pertumbuhan global," katanya. 

Harga minyak turut meraih keuntungan selepas dua hari berturut-turut mengalami kerugian. Brent melonjak 2.43% kepada AS$43.82 setong manakala WTI naik 3.02% kepada AS$41.34 setong. 

"Keadaan ini didorong oleh laporan keberkesanan vaksin oleh Moderna dan juga jangkaan OPEC+ akan mengekalkan pengeluaran rendah pada 2021 dalam usaha menyokong harga minyak global," katanya. - DagangNews.com