Perluaskan diskaun bil elektrik 10% kepada sektor pembuatan, komersial  | DagangNews Skip to main content

Perluaskan diskaun bil elektrik 10% kepada sektor pembuatan, komersial 

Ko Chuan Zhen
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10% kepada sektor pembuatan dan komersial. 

 

“Pemberian diskaun elektrik kepada sektor komersial dan pembuatan juga perlu dipertimbangkan, memandangkan salah satu cabaran utama dihadapi mereka adalah untuk menguruskan overhed dan pendapatan yang berkurangan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Plus Xnergy Holding Sdn Bhd, Ko Chuan Zhen dalam satu kenyataan.

 

Beliau bagaimanapun memuji inisiatif tersebut yang diberikan kepada sektor terjejas seperti pengendali hotel, agensi pelancongan, pusat beli-belah dan premis, pusat konvensyen, taman tema dan syarikat penerbangan tempatan.

 

“Buat masa ini, ketika kita menghadapi sekatan pergerakan yang lebih ketat di Malaysia untuk membendung penularan jangkitan COVID-19, banyak kilang-kilang akan beroperasi dalam kapasiti terhad yang akan memberi impak kepada penggunaan tenaga mereka,” katanya lagi.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas sebanyak 10% selama tiga bulan tambahan antara Julai hingga September 2021.

 

Di peringkat global, trend penggunaan elektrik menyaksikan penurunan namun dijangka meningkat semula pada tahun ini memandangkan banyak ekonomi pulih diterajui sumber tenaga boleh diperbaharui. 

 

Chuan Zhen tidak menafikan bahawa pemulihan yang perlahan itu memberi impak ke atas pemain industri tenaga boleh diperbaharui termasuk Plus Xnergy, namun beliau melihat terdapat keyakinan permintaan yang berterusan dari pelanggan komersial dan perindustrian. 

 

Berdasarkan pengalaman kumpulannya, Chuan Zhen masih yakin terhadap prospek industri tenaga boleh diperbaharui walaupun perubahan ke dalam bentuk pendapatan sebenar mengambil tempoh masa lebih lama daripada jangkaan.

 

Sebagai langkah untuk menyokong industri berkenaan, Plus Xnergy mencadangkan supaya kerajaan memainkan peranan penting menerusi pelaksanaan dasar kukuh seperti Net Energy Metering (NEM) dan Green Investment Tax Allowance (GITA) yang dapat meningkatkan minat serta penggunaan solar.

 

Dari segi unjuran campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui Malaysia, laporan Suruhanjaya Tenaga (EC) yang terkini meramalkan peningkatan penguasaan pasaran hampir dua kali ganda dari 17% pada 2021 kepada 31% menjelang 2032.

 

Dalam tempoh yang sama, EC mengunjurkan penguasaan pasaran kedua-dua gas dan arang batu akan menyusut daripada 82% kepada 69%.DagangNews.com