Permai : 10,768 perniagaan automatik dapat diskaun elektrik 10% TNB | DagangNews Skip to main content

Permai : 10,768 perniagaan automatik dapat diskaun elektrik 10% TNB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Sebanyak 10,768 pelanggan komersial Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara automatik bakal menerima 10% diskaun penggunaan elektrik bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2021 di bawah Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

 

Perniagaan yang layak daripada enam sektor berkenaan, sebelum ini telah menerima 15% diskaun penggunaan elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, menurut TNB.

 

“Keenam-enam sektor itu iaitu pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” kata TNB dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan baharu iaitu Permai seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua, bernilai RM15 bilion. 

 

Di bawah inisiatif yang ke-20, Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara. 

 

Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna TNB, domestik dan bukan domestik, pada kadar 2 sen setiap kilowatt per jam, iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga 9% bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021. 

 

Dalam pada itu, pelanggan daripada enam sektor berkenaan yang tidak termasuk dalam senarai lulusan awal oleh kerajaan boleh menghantar permohonan dengan mengisi borang Permohonan Diskaun 10%, tambah TNB. 

 

Borang itu boleh dimuat turun menerusi https://www.tnb.com.my/assets/files/Discount_Application_Form_KeTSA.pdf

 

Borang yang telah dilengkapkan dengan dokumen sokongan perlu dihantar kepada TNB selewat-lewatnya pada 31 Mac 2021. 

 

Penghantaran borang boleh dibuat menerusi e-mel kepada TNB Careline di alamat tnbcareline@tnb.com.my; atau Kedai Tenaga yang berhampiran selepas tempoh pelaksanaan PKP.

 

Untuk maklumat lanjut, layari laman web TNB di https://www.tnb.com.my/prihatin/faq-permai-2021/; dan pertanyaan boleh diajukan menerusi TNB CareLine: 1 300 88 5454 atau Facebook: TNB CareLine. - DagangNews.com