Permai beri impak minimum kewangan negara - MoF | DagangNews Skip to main content

Permai beri impak minimum kewangan negara - MoF

Permai

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri pada 18 Januari baru-baru ini dijangka memberikan impak fiskal yang minimum kepada negara.

 

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Zakiah Jaafar berkata, kerajaan juga tidak bercadang untuk meningkatkan had statutori hutang melebihi 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

"Kerajaan masih komited untuk mengekalkan sasaran defisit fiskal pada tahun ini sebanyak 5.4% kepada KDNK.

 

"Kita masih pada awal tahun, jadi kita masih boleh membuat penjajaran semula perbelanjaan kerajaan berdasarkan keutamaan semasa dan melalui amalan perbelanjaan yang lebih berhemat.

 

“Yang penting, keutamaan kerajaan ialah untuk memastikan perbelanjaan mengikut had yang ditetapkan, pemantauan yang ketat dan pemberian peruntukan sampai kepada kumpulan sasar,” katanya dalam program Ruang Bicara mengenai PERMAI di Bernama TV, malam tadi.

 

Dalam sesi wawancara tersebut, beliau memberitahu, paras hutang kerajaan persekutuan dijangka kekal terurus dan tidak melebihi had yang ditetapkan memandangkan negara masih berbelanja mengikut sasaran.

 

Mengulas berkaitan impak pertumbuhan ekonomi, beliau tidak menafikan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua akan memberi kesan kepada unjuran pertumbuhan pada tahun 2021.  

 

Bagaimanapun, kesan tersebut dijangka lebih kecil berbanding PKP sebelum ini memandangkan hampir keseluruhan sektor ekonomi dapat beroperasi bersama kehadiran pakej Permai.

 

“Pada masa yang sama, terdapat faktor positif yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi kita pada tahun ini termasuk harga minyak yang lebih tinggi sekitar AS$50-AS$55 setong berbanding AS$43 setong tahun lepas.

 

"Harga minyak juga dijangka akan terus stabil selari dengan trend permintaan serta jangkaan pemulihan ekonomi.

 

"Eksport negara juga telah kembali kepada trend berikutan pemulihan perdagangan dengan rakan dagang utama," katanya lagi. - DagangNews.com