Permai : KPPK pastikan SOP sektor perladangan dipatuhi | DagangNews Skip to main content

Permai : KPPK pastikan SOP sektor perladangan dipatuhi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melaksanakan beberapa langkah memastikan para pemain industri agrikomoditi memperketatkan amalan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

 

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu termasuklah menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung penularan COVID-19. 

 

"Bagi menyokong Inisiatif 4 Permai iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja, kementerian akan memastikan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipatuhi. 

 

"Ini kerana kegagalan mematuhinya boleh menyumbang kepada penyebaran wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sektor agrikomoditi telah menyumbang melalui pendapatan eksportnya sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara sehingga November 2020. 

 

Nilai ini meningkat sebanyak 13.6% berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Produk berasaskan sawit adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6% daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan 4.8% kepada RM64.8 bilion.

 

Mohd. Khairuddin berkata, dengan pemulihan perdagangan dunia, pertumbuhan eksport diramal akan
terus memberangsangkan. 

 

Sehubungan itu, katanya, sektor perladangan dan komoditi akan memanfaatkan kebenaran beroperasi bagi sektor perladangan dan komoditi oleh kerajaan sepanjang PKP dan tempoh darurat. 

 

"Kementerian mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) tahun ini sebanyak 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada 2020. 

 

"Ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM," katanya.

 

Menurut beliau, sebagai kementerian yang terlibat secara langsung dengan pertumbuhan ekonomi negara dan eksport sebagai aktiviti utama, KPPK akan terus berperanan dalam usaha memastikan sektor agrikomoditi menjadi sumber aset yang menyumbang kepada kemajuan negara. - DagangNews.com