Permai : Peruntukan RM150 juta tambah lebih 3,500 anggota kesihatan | DagangNews Skip to main content

Permai : Peruntukan RM150 juta tambah lebih 3,500 anggota kesihatan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Mengambil kira situasi semasa, kerajaan akan menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas pada hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan RM150 juta. 

 

Peruntukan tambahan itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah pakej bantuan baharu, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) sebentar tadi. 

 

“Ini terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat. 

 

“Saya memberi jaminan, sekiranya terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program imunisasi kelak, kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan pakej bantuan baharu di Facebook. 

 

Sebelum itu, Muhyiddin mengumumkan pakej bantuan Permai yang bernilai RM15 bilion untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. 

 

Baca : PM umum Permai, pakej rangsangan baharu bernilai RM15 bilion

 

Baca : Kumpulan pertama terima vaksin COVID-19 awal Mac - PM

 

Terdapat tiga matlamat utama dan 22 inisiatif digariskan di bawah pakej bantuan berkenaan. 

 

Tambah Muhyiddin, pemberian one-off sebanyak RM500 ringgit kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 ringgit kepada petugas barisan hadapan lain yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 akan mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini. 

permai

“Manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak COVID-19 ini berakhir,” katanya lagi. 

 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi meneruskan semangat kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memerangi wabak COVID-19.

permai

Menerusi kerjasama itu, hospital swasta telah bersetuju untuk menerima dan merawat kedua-dua pesakit COVID-19 dan juga bukan COVID-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam, tambah beliau. - DagangNews.com