Permintaan cip RF Inari Amertron dijangka terus meningkat - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Permintaan cip RF Inari Amertron dijangka terus meningkat - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - MIDF Research menjangkakan Inari Amertron Berhad akan terus mencatatkan pertambahan permintaan terutama dalam segmen cip frekuensi radio (RF) kerana ia sangat diperlukan dalam penggunaan teknologi 5G.

 

Firma itu berkata, walaupun perniagaan kumpulan itu agak terjejas akibat situasi COVID-19, kawalan pergerakan di China dan konflik Rusia-Ukraine namun kami menjangkakan margin keuntungan mereka akan bertambah baik selepas mereka mengambil tindakan mengawal kos serta perbelanjaan modal.

 

"Selepas mengambil kira semua faktor berkaitan, kami mengekalkan saranan beli untuk kumpulan itu pada harga sasaran tidak berubah RM4.55," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Inari Amertron mencatatkan peningkatan 10% keuntungan bagi suku ketiga tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2022 kepada RM90.48 juta daripada RM81.90 juta untuk suku sama pada tahun lalu akibat peningkatan pendapatan dalam semua segmen perniagaan.

 

Pendapatan kumpulan itu berkembang sebanyak 5% kepada RM360.34 juta daripada RM342.93 juta pada tahun lalu.

 

Pada masa sama, operasi kumpulan itu di Malaysia mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 8% daripada RM23.1 juta kepada RM25.06 juta manakala operasi di Singapura mencatatkan peningkatan 3% kepada RM302.15 juta daripada RM291.99 juta pada tahun lalu.

 

Perniagaan di China pula mencatatkan pendapatan RM30.39 juta dan keuntungan bersih kumpulan itu untuk tempoh sembilan bulan melonjak sebanyak 25% kepada RM304.7 juta daripada RM242.11 juta pada tahun lalu. 

 

Pendapatan kumpulan itu adalah selari dengan jangkaan dan firma itu mengekalkan unjuran pendapatan untuk Inari Amerton.

 

"Kami melihat penilaian itu adalah bertepatan dengan jangkaan peningkatan permintaan dalam industri semikonduktor," katanya. - DagangNews.com