‘Permintaan hangat’ sarung tangan hampir berakhir? | DagangNews Skip to main content

‘Permintaan hangat’ sarung tangan hampir berakhir?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Permintaan sarung tangan yang sangat tinggi sehingga mendatangkan keuntungan ‘durian runtuh’ buat pemain industri berkenaan dijangka bakal berakhir tidak lama lagi. 

 

Ini seterusnya bakal menyaksikan keuntungan pemain industri sarung tangan kembali seperti biasa seiring trend purata harga jualan (ASP) yang dijangka lebih rendah pada masa akan datang, menurut Penganalisis di MIDF Research, Ng Bei Shan.

 

Bagaimanapun, jangkaan Bei Shan itu tidak bermaksud permintaan terhadap produk sarung tangan akan merudum, sebaliknya dijangka terus berprestasi baik didorong oleh kesedaran kebersihan dan amalan penjagaan kesihatan yang lebih baik. 

 

“Berbanding penghujung 2020, nisbah semerta bagi sarung tangan mula mereda, ini bermakna tempahan yang terdesak bagi produk itu mula berkurangan. Berdasarkan semakan saluran, pembuat sarung tangan meletakkan peruntukan segera yang lebih rendah berbanding satu hingga dua suku tahun sebelumnya. 

 

“Sesetengah daripada mereka menumpukan sepenuhnya kepada tempahan berkontrak. Sementara itu, harga bagi tempahan kontrak semakin lemah pada kadar yang beransur-ansur ekoran permintaan dan dinamik bekalan yang berubah-ubah. 

 

“Salah satu daripada faktornya adalah pembeli mengambil pendekatan tunggu dan lihat memandangkan mereka cuba untuk mengurangkan risiko inventori harga tinggi. Walaupun kami menjangkakan harga akan kekal melebihi paras sebelum pandemik, namun kami berpendapat jika permintaan segera sarung tangan berkurangan, maka ASP juga menyusut,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Bei Shan tidak menafikan situasi pandemik yang bertambah baik di beberapa negara membangun menjadi punca kepada perubahan trend permintaan mendesak ke atas sarung tangan getah. 

 

Beliau mengambil contoh Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah yang menyaksikan kes COVID-19 mereka menurun dengan drastik daripada paras tertinggi pada suku pertama 2021 (1Q21). 

 

“Kadar vaksinasi yang tinggi juga menunjukkan bahawa desakan untuk sarung tangan getah di negara-negara ini mungkin lambat dan memberi lebih tekanan terhadap ASP pada masa akan datang,” tambah beliau.

 

Ditambah dengan trend ASP yang lebih lemah, Bei Shan menjangkakan margin keuntungan juga menguncup. 

 

Sehubungan itu, MIDF menyemak turun unjuran ASP bagi tahun 2022 dan 2023 sebanyak 5% kepada 10%. 

 

Firma penyelidikan itu seterusnya menurunkan penarafan sektor berkenaan daripada 'positif' kepada 'neutral' susulan kitaran tinggi permintaan terhadap sektor itu dilihat hampir ke penghujung.

 

“Susulan terdapat perubahan kepada andaian dan unjuran perolehan, kami menyemak turun saham Hartalega Holdings Berhad, Kossan Rubber Industries Berhad, Supermax Corporation Berhad dan Top Glove Corporation Berhad kepada 'neutral' daripada ‘beli’ susulan kenaikan yang terhad dalam keuntungan modal,” tambah Bei Shan lagi.

 

Di sebalik ramalan berkenaan, Bei Shan menjangkakan syarikat-syarikat sarung tangan berada dalam kedudukan baik untuk mempertahankan penguasaan pasaran masing-masing memandangkan aliran tunai yang sihat, kunci kira-kira kukuh dan pelaburan ke dalam kemudahan baharu serta penyelidikan dan pembangunan. - DagangNews.com