Permit import makanan dimansuh serta-merta - PM | DagangNews Skip to main content

Permit import makanan dimansuh serta-merta - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (duduk, dua, kanan) hadir sambutan Aidilfitri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Puspanitapuri, Putrajaya. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA 18 Mei - Kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan permit import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta-merta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

 

"Ini akan membolehkan semua pihak untuk mengimport sebarang bahan makanan ke negara ini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri di sini hari ini.

 

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengumumkan butiran lanjut berhubung AP untuk import bahan makanan itu.

 

“Dulu ada AP daging dan lembu, mulai hari ini tidak ada lagi dan sesiapa sahaja boleh import apa sahaja bahan makanan dari negara luar untuk pastikan cukup bekalan,” katanya. 

 

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri majlis sambutan Aidilfitri JPM di Puspanitapuri di sini.

 

Kehadiran Ismail Sabri pada kira-kira 1.30 tengahari itu  disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria. 

 

 

pm
Seorang wartawan merakamkan sidang media oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan telefon bimbit pada Sambutan Aidilfitri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri hari ini. - Gambar Bernama

 

 

Antara tetamu yang hadir adalah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. 

 

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, ketua-ketua setiausaha serta ketua-ketua jabatan.

 

Ismail Sabri yang lengkap berbaju melayu berwarna ‘peach’ dan bersamping meluangkan masa kira-kira sejam di majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu dan jemputan, lapor Bernama.

 

Beliau turut meluangkan masa melawat ke gerai-gerai juadah majlis sambutan Aidilftri JPM itu yang berkonsepkan ‘Semarak Aidilfitri, Keluarga JPM Dirai’. - DagangNews.com