Permohonan dibuka bagi Program Felo di Pusat Pengajian Islam Oxford - SC | DagangNews Skip to main content

Permohonan dibuka bagi Program Felo di Pusat Pengajian Islam Oxford - SC


KUALA LUMPUR 5 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa para sarjana yang berhasrat untuk menyertai Program Felo Sarjana Tamu (SIR) ke-10 di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) UK, bagi tahun akademik 2021/22.

 

Program ini, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik antara SC dan OCIS, adalah terbuka kepada ahli akademik atau pengamal industri yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan Islam dan/atau disiplin yang berkait rapat, dan yang mampu mempamerkan kebolehan untuk menjalankan penyelidikan gunaan secara bebas. 

 

“Pemohon yang berjaya dijangka akan memulakan program tamu selama satu tahun akademik di OCIS mulai Oktober 2021, untuk menjalankan penyelidikan gunaan mengenai isu-isu kontemporari yang berkaitan dengan pasaran modal Islam,” menurut SC dalam kenyataan.

 

SC berkata selain menjalankan penyelidikan, sarjana yang terpilih juga sesekali dikehendaki menyampaikan syarahan dan mengadakan seminar, terlibat dalam kajian kolaboratif dan menyumbangkan tenaga kepada institusi berkaitan.

 

Program SIR yang dimulakan pada 2012 telah mendapat sambutan baik di seluruh dunia. Ia menarik minat para sarjana yang terdiri daripada ahli akademik dan pengamal industri dari Malaysia, Eropah, Timur Tengah dan benua Amerika. 

 

“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk memacu pembangunan pasaran modal Islam di peringkat global, dengan kepimpinan pemikiran sebagai tonggak utama,” katanya.

 

Tarikh tutup permohonan adalah pada 9 Jun 2021 dan maklumat lanjut mengenai Program SIR boleh didapati di laman web OCIS di www.oxcis.ac.uk.  - DagangNews.com