Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
PUTRAJAYA 5 Ogos - Permohonan untuk pengambilan pekerja warga asing akan dihentikan buat sementara waktu untuk tempoh mulai 15 Ogos hingga 31 Ogos 2022.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bagi membolehkan semakan ke atas tatacara permohonan pekerja warga asing susulan pindaan kepada Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan mula berkuat kuasa pada 1 September 2022.
"Tatacara baru bagi permohonan pengambilan pekerja warga asing mulai 1 September 2022 akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.
Menurut kementerian itu, semua permohonan yang dikemukakan majikan sebelum atau pada 14 Ogos 2022 akan diproses dan diselesaikan sebelum atau pada 31 Ogos 2022. - DagangNews.com