Permohonan pinjaman bank pada Julai 2021 menyusut dengan ketara | DagangNews Skip to main content

Permohonan pinjaman bank pada Julai 2021 menyusut dengan ketara

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Jumlah permohonan pinjaman yang dihantar oleh individu atau perniagaan menyusut dengan ketara pada Julai 2021, mungkin disebabkan oleh kesukaran untuk mendapatkan pinjaman dan persekitaran perniagaan yang sukar ketika ini. 

 

Pada tempoh tersebut, jumlah permohonan pinjaman merosot 28% berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan menurun 15% berbanding Jun 2021, menurut penganalisis di Kenanga Research, Clement Chua.

 

Ini seterusnya menyebabkan jumlah kelulusan pinjaman yang lebih rendah, menyusut 16% berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

 

Di sebalik penurunan tersebut, jumlah pemberian pinjaman bagaimanapun meningkat 3.1% pada Julai 2021 berbanding bulan sama pada tahun lalu, terutamanya dipacu oleh pinjaman isi rumah bagi membeli kenderaan dan hartanah. 

 

Pinjaman perniagaan sebaliknya hanya meningkat 1.7% memandangkan kebanyakan sektor ekonomi menyaksikan penguatkuasaan yang berpelbagai menjadikan operasi dan pengembangan perniagaan sukar, menurut Chua.

 

Bagaimanapun, dari segi perbandingan bulan ke bulan, kadar pinjaman yang diberikan mendatar pada 0.1% untuk kedua-dua segmen isi rumah dan perniagaan, berkemungkinan disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh, kata Chua. 

 

“Dalam pada itu, dengan pemberian moratorium menyeluruh secara pilihan yang berkuatkuasa 7 Julai 2021, pembayaran balik pinjaman dari segi perbandingan bulan ke bulan menyusut 2.2% (-4.7% dalam isi rumah dan -1.5% dalam perniagaan) memandangkan individu mahu menyimpan lebih banyak tunai. 

 

“Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman tahun 2021 pada kadar 3% hingga 4% dengan pembukaan semula sektor ekonomi yang stabil dan harapan lebih banyak aktiviti di dalam negara dilonggarkan apabila semua negeri beralih kepada Fasa 2 PKP Penuh,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor berkenaan dan menyifatkan data tersebut sebagai cerminan kepada kesan kawalan dan sekatan pergerakan ke atas ekonomi secara keseluruhannya dan boleh membawa kesan yang lebih besar jika dilanjutkan secara berlebihan. 

 

Sementara itu, penganalisis di HLIB Research, Chan Jit Hoong mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan dan menjangkakan nisbah pinjaman rosot nilai kasar (GIL) akan terus meningkat.

 

Beliau percaya kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneruskan dasar menyokong dalam membantu peminjam yang bermasalah, sekali gus mengurangkan penyusutan dalam nisbah GIL. - DagangNews.com