Pernas, SMK Sri Pantai bekerjasama tubuh Kelab Usahawan Francais, pupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar | DagangNews Skip to main content

Pernas, SMK Sri Pantai bekerjasama tubuh Kelab Usahawan Francais, pupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Bagi melahirkan lebih ramai bakal usahawan francais khususnya golongan muda, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, Kampung Kerinchi, Bangsar South dengan mewujudkan Kelab Usahawan Francais (KUF) untuk pelajar tingkatan 4 dan 5.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim berkata, KUF yang ditubuhkan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu memberi pendedahan awal dan meningkatkan kefahaman pelajar-pelajar mengenai konsep perniagaan bidang francais.

 

Beliau berkata, selain daripada menyemai minat, membentuk nilai dan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar, ia juga bertujuan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan selepas tamat belajar. 

 

"Ahli-ahli KUF akan diberi pendedahan mengenai keusahawanan khususnya dalam bidang francais merangkumi maklumat-maklumat mengenai konsep dan kelebihan perniagaan tersebut berbanding konsep perniagaan yang lain.  

 

"Selari dengan penubuhan KUF, sebuah sudut informasi telah diwujudkan di pusat sumber sekolah tersebut bagi memberi pendedahan awal mengenai industri francais," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mazlan berkata, aktiviti yang dilaksanakan KUF melibatkan tiga fasa, termasuk fasa pengenalan iaitu pendedahan mengenai sistem keusahawanan francais secara umum meliputi seminar keusahawanan francais, pendedahan kepada Program Business In Transformation (BIT) dan peluang kerjaya bersama Focus Point.

 

"Kedua, fasa eksplorasi membabitkan lawatan ke Menara Pernas untuk mengetahui mengenai sistem peroperasian dan perkongsian ilmu bersama jenama francais dan para-francais dalam bidang makanan dan minuman (F&B) iaitu GJC dan 1901.

 

 

pernas
Mazlan Ibrahim

 

 

pernas
Pernas bekerjasama dengan SMK Sri Pantai mewujudkan Kelab Usahawan Francais untuk pelajar tingkatan 4 dan 5.

 

 

"Ketiga ialah fasa penutup yang memfokuskan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seramai 200 orang dengan pendedahan mengenai peluang kerjaya dengan jenama francais seperti Focus Point dan KOMUGI," katanya.

 

Untuk program yang dilaksanakan pada hari ini, Pernas membawa dua jenama besar francais iaitu Focus Point dan Marrybrown sebagai rakan strategik.  

 

 

pernas
Sudut informasi diwujudkan di pusat sumber SMK Sri Pantai bagi memberi pendedahan awal mengenai industri francais.

 

 

pernas
Focus Point sebagai rakan strategik Pernas menawarkan perkhidmatan pemeriksaan mata secara percuma kepada 200 pelajar yang bakal menduduki SPM dan 40 ahli Kelab Usahawan Francais, selain menaja 100 cermin mata secara percuma kepada para pelajar yang memerlukan.

 

 

Focus Point menawarkan perkhidmatan pemeriksaan mata secara percuma kepada 200 pelajar yang bakal menduduki SPM dan 40 ahli KUF. Focus Point dan Pernas turut menaja sebanyak 100 cermin mata percuma kepada pelajar-pelajar yang memerlukan. 

 

 

pernas
Mazlan Ibrahim (kanan) dan Hasni Hassan (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Chee Kok Hua mengenai Focus Point.

 

 

Manakala, Marrybrown menyumbang makan tengah hari kepada para pelajar yang mana inisitiaf kedua-dua jenama ini merupakan salah satu inisiatif CSR syarikat kepada masyarakat.

 

Turut hadir, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Seri Pantai, Hasni Hassan dan Ketua Jualan Runcit dan Operasi Focus Point, Chee Kok Hua. - DagangNews.com