Perodua sasar jual 240,000 unit kenderaan pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Perodua sasar jual 240,000 unit kenderaan pada 2022

ISKANDAR PUTERI 4 Dis - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan jualan sebanyak 240,000 unit kenderaan pada tahun 2022, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad.

 

Beliau berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 20% atau 40,000 unit kenderaan berbanding sasaran jualan pada tahun ini.

 

Menurutnya, sasaran itu disokong oleh jangkaan bahawa 2022 akan menjadi tahun pemulihan daripada pandemik COVID-19 sekali gus memberi kestabilan kepada pasaran.

 

“Kita jangkakan permintaan meningkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun hadapan kerana orang ramai mahu mendapat manfaat daripada insentif pengecualian cukai jualan oleh kerajaan manakala jualan pada separuh kedua dijangka sedikit perlahan.

 

“Perodua juga dalam perancangan untuk melancarkan model baharu Perodua Alza pada tahun hadapan memandangkan model sedia ada akan ditamatkan pengeluaran pada Januari,” katanya pada sidang media selepas program Media Myvi Warrior di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Zainal Abidin berkata, pihaknya menjangkakan pembelian komponen auto akan kembali pulih kepada sekitar RM6.5 bilion pada tahun depan. 

 

Menurutnya, Perodua menyasarkan jualan sekurang-kurangnya 30,000 unit kenderaan pada Disember bagi memastikan sasaran 200,000 jualan kenderaan pada tahun ini tercapai. 

 

“Setakat November, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 167,250 unit, iaitu pengurangan sebanyak 14.2% berbanding 194,980 unit dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya.

 

Mengulas mengenai Perodua Myvi baharu yang dilancarkan pada 18 November lepas, Zainal Abidin berkata syarikat itu telah menerima 14,600 tempahan setakat 2 Disember.

 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,189 unit melibatkan tempahan daripada pembeli yang beralih daripada varian sebelumnya,” katanya. 

 

Myvi Baharu hadir dalam lima varian iaitu 1.5 liter AV (Advance), 1.5 liter H, 1.5 liter X , 1.3 liter G dan 1.3L G (Basic) dengan harga bermula daripada RM45,700 hingga RM58,800 tanpa insuran dan tidak termasuk Cukai Jualan. - DagangNews.com