Perodua sasar kuasai 40.6% pasaran automotif 2022 | DagangNews Skip to main content

Perodua sasar kuasai 40.6% pasaran automotif 2022

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 26 Jan -  Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua)  menjangkakan dapat meningkatkan bahagian pasarannya kepada 40.6% tahun ini dengan mendaftarkan 247,800 unit kenderaan berbanding 37.4% bahagian pasaran pada 2021.

 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, tahun ini juga pihaknya mengunjurkan pengeluaran sebanyak sebanyak 265,900 kenderaan iaitu 37.5 % lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan yang dihasilkan pada 2021.

 

“Peningkatan dalam pengeluaran akan membawa peningkatan pembelian alat ganti automotif sumber tempatan sebanyak 41.5% iaitu kepada RM7.5 bilion berbanding RM5.3 bilion yang dibeli pada 2021," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mengulas mengenai prestasi 2021, Zainal Abidin berkata, tahun lalu amat mencabar kerana negara dan industri utamanya terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis di sepanjang tahun.

 

Bagi 2021, Perodua merekodkan jualan kenderaan sebanyak 190,291 unit, iaitu 13.6% kurang berbanding 220,163 unit yang didaftarkan pada 2020.

 

"Oleh yang demikian, kami telah banyak belajar daripada situasi ini dan telah mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk memastikan kami dapat menghadapinya dengan lebih baik sekiranya krisis seumpama ini berulang lagi," katanya.

 

Merujuk kepada banjir yang berlaku pada Disember dan awal Januari tahun ini, Perodua telah menerima hampir 2,103 kes banjir di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 366 kenderaan telah dibaiki dan dikembalikan kepada pemilik masing-masing.

 

Kemasukan kenderaan Perodua ke pusat servisnya adalah sebagai tindakan kepada Program Bantuan Banjir Perodua yang ditawarkan syarikat itu yang terdiri daripada diskaun 50% untuk alat ganti standard, kos buruh percuma untuk semua penggantian dan pembaikan serta perkhidmatan tunda percuma 24 jam melalui nombor hotline Perodua 1800-88-5555.

 

Dalam pada itu beliau berkata, inisiatif pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan kerajaan masih merupakan insentif yang sangat baik untuk pengguna membeli kereta baharu. 

 

“Buku tempahan kami untuk kenderaan baharu masih agak sihat dengan jaminan pengeluaran akan berjalan tanpa gangguan, bermakna kami dapat memenuhi tempahan tertunggak tepat pada masanya,” katanya.  -DagangNews.com