Perodua sumbang 10,000 pelindung muka | DagangNews Skip to main content

Perodua sumbang 10,000 pelindung muka

Perodua

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai - Perodua meluaskan inisiatif perlidungan awamnya dengan mengedarkan 10,000 pelindung muka di daerah Hulu Selangor dan kawasan perbandaran Selayang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sumbangan tersebut adalah tanda penghargaan kepada masyarakat yang sentiasa memberi sokongan baik kepada pihaknya.

"Ini adalah tanda penghargaan kepada masyarakat sekeliling yang menyambut baik kami selama 27 tahun kami bertapak di sini.

"Sebagai syarikat yang mengutamakan insan dan entiti korporat yang bertanggungjawab, Perodua amat mengambil berat tentang keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat umum semasa pandemik COVID-19," jelasnya dalam satu kenyataan.

Perodua

Edaran yang dibuat di Hulu Selangor termasuk di Pejabat Kesihatan Daerah, klinik-klinik komuniti dan pergigian, penguatkuasa Jabatan Perlesenan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) serta para penjaja di pasar pagi dan malam.

Selain itu, Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut menerima sumbangan berkenaan.

Pelindung muka tersebut mempunyai bahagian tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum di samping kusyen span pada bahagian dahi yang mampu menghalang titisan air.

Perodua

Pada Jun lalu, Perodua telah menyumbang kira-kira 11,000 pelindung muka kepada sekolah menengah di Putrajaya dan Hulu Selangor.

"Sumbangan kami setakat ini telah mencecah 21,000 pelindung muka, kami berharap pelindung muka ini akan sentiasa dipakai oleh mereka yang bertugas dengan berani setiap hari untuk terus memberikan perkhidmatan, rawatan, dan keperluan harian kepada kita semua.

"Perjuangan kita melawan COVID-19 masih belum berakhir. Kami berharap rakyat Malaysia akan terus mengamalkan dan menyesuaikan diri dalam norma baharu dengan berwaspada dan mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya lagi. - DagangNews.com