Perolehan 7 kontrak kurangkan kerugian penjualan aset Sapura Energy - MIDF | DagangNews Skip to main content

Perolehan 7 kontrak kurangkan kerugian penjualan aset Sapura Energy - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Pengumuman Sapura Energy Berhad (SEB) berhubung kemenangan tujuh kontrak projek pada separuh kedua 2021 (2H21) dijangka dapat mengurangkan impak penjualan SapuraOMV Upstream Sdn. Bhd. kepada Jadestone Energy Plc.

 

MIDF Research percaya kemenangan kontrak berkenaan akan mengatasi impak kerugian daripada penjualan aset berkenaan ke atas pendapatan SEB. 

 

“Kumpulan sudah tentunya telah menubuhkan rekod prestasi yang baik dengan projek operasi dan penyelenggaraan minyak dan gas yang serupa. 

 

“Kami percaya sektor ini bakal menyaksikan penambahbaikan perolehan. Ini dipacu oleh kestabilan harga minyak Brent pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21), berdasarkan keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC (OPEC+) untuk meningkatkan bekalan minyak mentah kepada 400,000 tong sehari bermula pada Ogos 2021. 

 

“(Seterusnya), pemulihan dalam permintaan minyak yang beransur-ansur dan penemuan penerokaan baharu di lepas pantai Malaysia. Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas SEB, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM0.16 sesaham,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian. 

 

Risiko utama yang digariskan MIDF terhadap prospek tersebut adalah pandemik yang kian teruk sehingga merisikokan operasi, kawalan sempadan yang lebih ketat ke atas buruh asing dan bahan-bahan serta cuaca yang tidak baik.

 

Pada minggu lalu, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah meluluskan cadangan Jadestone Energy untuk mengambil alih SapuraOMV Upstream pada nilai AS$9 juta atau sekitar RM37.85 juta. 

 

SEB dan OMV Aktiengesellschaf menerusi SEB Upstream Sdn Bhd memiliki kepentingan ekuiti di dalam SapuraOMV Upstream yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Exploration and Production Sdn Bhd.

 

Semalam, SEB dalam maklumannya di Bursa Malaysia mengumumkan bahawa kumpulan telah memenangi beberapa kontrak dengan nilai terkumpul berjumlah RM1.2 bilion. 

 

Ini melibatkan segmen Kejuruteraan dan Pembinaan (E&C); Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) serta Penggerudian, yang merangkumi projek-projek di Malaysia dan Thailand. - DagangNews.com