Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Nov - KLCCP Stapled Group yang merangkumi KLCC Property Holdings Bhd. dan KLCC REIT merekodkan perolehan sebanyak RM260.34 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, susut 17% daripada RM312.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan ini disebabkan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang panjang bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Ia turut menyaksikan keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 21% kepada RM154.1 juta berbanding RM195.5 juta berbanding tahun lalu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Perolehan dan PBT ini menurun terutamanya disebabkan prestasi lemah segmen hotel dan peruncitan yang terjejas akibat penguatkuasaan PKP bagi memerangi krisis pandemik sekali gus mengganggu pemulihan pasaran bagi kedua-dua segmen ini.
Bagaimanapun, di sebalik persekitaran mencabar, segmen pejabat kekal menjadi penyumbang utama kepada perolehan kumpulan dengan mempamerkan momentum yang kukuh disokong tempoh pajakan jangka masa panjang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md. Shah Mahmood berkata, dalam persekitaran ekonomi yang masih berdepan kesan daripada krisis kesihatan ini, kumpulan akan terus memberi fokus untuk menguruskan aset dan menyokong penyewa dengan menjadikannya lebih mampan.
Katanya, COVID-19 telah jelas memberi kesan kepada prestasi kewangan kumpulan tetapi, syarikat akan terus kekal fokus terhadap pemulihan perniagaan dan menyesuaikan diri dalam norma baharu.
"Dengan lebih 95% penduduk dewasa sudah divaksinkan, sekatan pergerakan kini semakin longgar dan aktiviti semakin meningkat, yang secara tidak langsung menunjukkan ke arah pemulihan.
"Di samping, kami memberi tumpuan kepada pemulihan, kami juga akan terus menumpukan kepada aspek kesihatan dan keselamatan pekerja, penyewa, pengunjung, tetamu hotel dan komuniti di sekeliling memandangkan kami amat mengalu-alukan kedatangan mereka ke premis kami," katanya. - DagangNews.com