Perolehan kontrak Agogo akan menjadi pemangkin kepada penarafan semula saham Yinson, kata CGS-CIMB  | DagangNews Skip to main content

Perolehan kontrak Agogo akan menjadi pemangkin kepada penarafan semula saham Yinson, kata CGS-CIMB 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Sept - Projek Agogo akan menjadi kontrak terbesar pernah diperoleh Yinson Holdings Bhd. setakat ini jika ia memenangi bidaan itu yang membabitkan pelaburan modal (capex) lebih RM1 bilion. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Raymond Yap berkata, perolehan kontrak itu akan menjadi pemangkin kepada penarafan semula saham Yinson. 

 

"Awal bulan ini, Upstream Online melaporkan Yinson dilihat sebagai pilihan utama untuk projek ini, yang mana kami jangkakan akan dianugerahkan sebelum akhir tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam laporan itu, Yinson muncul sebagai calon paling layak untuk memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang akan menghantar kapal terapung, penyimpanan dan muatan (FPSO) untuk projek Agogo Eni, di luar pesisir Angola.

 

Selain itu, sumber industri juga mendedahkan bahawa Eni dijangka menandatangani surat niat dengan Yinson tidak lama lagi, dan akan memuktamadkan kontrak komersial akhir tahun ini. Artikel itu juga menyatakan bahawa floater diperlukan untuk tempoh sehingga 20 tahun.

 

FPSO itu direka untuk menghasilkan 120,000 tong minyak sehari dan menyimpan kira-kira 1.6 juta tong untuk pembangunan medan penuh — fasa pembangunan kedua Agogo. Minyak pertama daripada projek itu dijangka mengalir pada 2026.

 

Pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022, untung bersih Yinson meningkat 13.49% kepada RM143 juta daripada RM126 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disokong sumbangan yang lebih tinggi menerusi segmen pengeluaran luar pesisir dan marin luar pesisir.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut melonjak 53.7% kepada RM1.62 bilion daripada RM1.05 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2022.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 31 Julai 2022, untung bersih Yinson meningkat kepada RM263 juta daripada RM238 juta dengan pendapatan berkembang 28.3% kepada RM2.63 bilion daripada RM2.05 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menurut Yap, Yinson menyaksikan lonjakan yang besar bagi pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) untuk aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) daripada suku pertama kepada suku kedua.

 

Katanya, kumpulan menjangkakan hasil pada suku ketiga tidak mungkin merosot suku ke suku disebabkan kemajuan dalam pembinaan FPSO Maria Quitera.

 

"Ini bermakna keuntungan daripada aktiviti EPCIC yang kukuh pada suku kedua akan berterusan sehingga suku semasa ini," katanya.

 

Selain itu, tambahnya, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) yang berlegar daripada purata RM4.41 pada suku kedua kepada RM4.57, akan meningkatkan lagi hasil Yinson dalam ringgit yang didenominasi dolar AS pada separuh kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23).  

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Yinson dengan harga sasaran disemak turun kepada RM3.20 daripada RM3.23 sesaham sebelum ini.

 

Setakat 10.18 pagi ini, harga sahamnya menokok 3 sen atau 1.3% kepada RM2.33 dengan 1.37 juta saham diniagakan. - DagangNews.com