Perolehan V.S Industry berdepan risiko kos operasi lebih tinggi, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Perolehan V.S Industry berdepan risiko kos operasi lebih tinggi, kata PublicInvest

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Penyedia Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS) bersepadu, V.S Industry Berhad dijangka menyaksikan perolehan kumpulan dalam tempoh jangka masa pendek terjejas, namun ini diramalkan tidak akan memberi kesan ke atas prestasi cemerlangnya pada masa akan datang. 

 

Penganalisis di PublicInvest Research, Ching Weng Jin berkata, kos operasi yang lebih tinggi daripada perbelanjaan berkaitan COVID-19 boleh memberi impak kepada perolehan kumpulan walaupun tempahan daripada pelanggan utama dijangka kekal kukuh. 

 

"Kami ketika ini menjangkakan permulaan barisan operasi lebih pantas daripada jangkaan untuk beberapa pelanggan baharunya, yang menyaksikan kami meningkatkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 sebanyak masing-masing, 3.9% dan 7.0%.

 

“Kemudahan baharu kumpulan di iPark@Senai Airport City akan memenuhi beberapa model produk baharu yang dijangka memulakan pengeluaran secara progresif menjelang beberapa suku tahun akan datang. 

 

“Dalam perkembangan lain, kumpulan juga memulakan pengeluaran ‘box-build’ untuk pelanggan baharu dari Amerika Syarikat (AS), di samping berunding dengan pelanggan berpotensi di China, walaupun tumpuan segera di sana masih ke arah pengurusan kos,” jelas Weng Jin dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Sekiranya sekatan operasi tidak dikuatkuasakan dengan ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh, V.S Industry boleh mencatatkan keuntungan tertinggi dari segi perbandingan suku tahun pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21). 

 

Baca : Impak ‘lockdown’ terasa, untung bersih Q4 V.S Industry susut sedikit kepada RM41.5 juta

 

V.S. Industry menyaksikan keuntungan bersih kumpulan menyusut sedikit kepada RM41.5 juta pada tempoh berkenaan daripada RM54.7 juta yang dicatatkan pada tempoh sama berakhir 31 Julai 2020, menurut makluman kumpulan di Bursa Malaysia. 

 

Jelas V.S Industry, ini terutamanya disebabkan oleh rosot nilai dalam pelaburan bersekutunya bernilai RM25 juta selain jualan terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dan PKP Diperketatkan (PKPD).

 

Keuntungan bersih kumpulan sebaliknya meningkat bagi perbandingan tahun ke tahun, menokok kepada RM245.3 juta daripada RM116.5 juta. 

 

PublicInvest mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas kumpulan dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM1.86 daripada RM1.56. - DagangNews.com