Skip to main content

Persatuan Pemilik Kedai Kopi anggap cadangan dasar KKM tidak berkesan hentikan rokok seludup

Kementerian Kesihatan perlu memberi tumpuan kepada usaha menghentikan rokok seludup di pasaran.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 24 Jun – Kerajaan perlu melaksanakan analisis komprehensif mengenai impak ekonomi dan strategi paling efektif untuk menangani rokok seludup sebelum memperkenalkan larangan merokok dan rokok eletronik kepada orang dewasa di masa hadapan, kata Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA).

 

Seruan MSCSPGA terhadap kerajaan itu turut meliputi polisi berkaitan kawalan tembakau lain seperti pembungkusan standard dan larangan produk tembakau dipamerkan di tempat jualan.

 

Komen daripada persatuan itu, yang mewakili lebih 20,000 pengusaha kedai kopi di seluruh negara, dibuat berikutan laporan akhbar baru-baru ini bahawa Kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang baharu untuk larangan penggunaan tembakau dan rokok elektronik (vape) bagi mereka yang lahir selepas 2005, pembungkusan standard dan larangan pameran produk tembakau.

 

Presiden MSCPGA, Wong Teu Hoon berkata, cadangan berkenaan tidak akan menghentikan perokok kerana rokok seludup boleh didapati dengan mudah.

 

Menurut beliau, cadangan baharu ini tidak akan berkesan kerana hampir 60% rokok yang dijual di Malaysia adalah rokok seludup.

 

"Kementerian Kesihatan perlu memberi tumpuan kepada usaha menghentikan rokok seludup di pasaran dan bukannya mewujudkan polisi baru yang akan terus menggalakkan rokok seludup di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut Wong, pemilik kedai kopi dan perniagaan runcit lain perlu menanggung kos pematuhan sekiranya larangan pameran produk tembakau ini dilaksanakan.

 

Begitu juga, kerumitan akan bertambah kepada perniagaan jika pembungkusan standard dan larangan jualan produk tembakau dan rokok elektronik diperkenalkan di Malaysia.

 

“Kebanyakan perniagaan sedang menjalani pemulihan selepas dua tahun mengalami gangguan yang teruk ke atas perniagaan berikutan pandemik Covid-19. Cadangan sebegini akan menyebabkan bebanan ke atas perniagaan runcit dan juga memberi impak kepada perniagaan kami."

 

 

Presiden MSCPGA, Wong Teu Hoon
               Wong Teu Hoon

 

 

MSCPGA berkata, pelaksanaan larangan merokok ke atas mereka yang lahir selepas 2005 akan memberi kesan besar kepada anggotanya.

 

“Tanggungjawab untuk menguatkuasakannya akan jatuh kepada kami sama seperti ketika larangan merokok di tempat makan dilaksanakan. Kamilah yang melakukan pemeriksaan kad pengenalan, menjadikan keseluruhan proses lebih rumit. Seterusnya, pelanggan akan mendapati bahawa pemeriksaan ini menyusahkan dan sebaliknya akan beralih kepada pengusaha rokok seludup yang sentiasa mudah diperoleh dan pada kos yang lebih rendah, dan bukannya berhenti merokok.”

 

“Kesudahannya, kadar rokok seludup akan terus meningkat, dan hasil perniagaan kami akan terkesan. Pada masa ini, kami dapati anggota persatuan mengalami penurunan jualan rokok sah, kerana ramai perokok yang beralih untuk membeli rokok seludup,” jelas Wong.

 

mscpga

 

Sehubungan itu, MSCPGA menggesa Kerajaan untuk berbincang dengan semua persatuan peruncit untuk memahami impak ekonomi berkaitan cadangan larangan ini serta membincangkan strategi penguatkuasaan yang efektif bagi menghentikan rokok seludup.

 

“Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk menghentikan perdagangan rokok seludup. Sekiranya Kerajaan boleh menghentikan perdagangan rokok seludup dengan kempen kesedaran yang berterusan, perbuatan merokok akan dapat dikurangkan secara efektif di Malaysia," tambah Wong.

 

Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura ditubuhkan pada 1947. Pada masa ini, ia mempunyai lebih 45 anggota gabungan dan 20,000 anggota di seluruh Malaysia dan Singapura. Peranan utama persatuan ini adalah untuk menjaga hak dan perniagaan anggotanya. - DagangNews.com