Persediaan banjir: KPLB gerakkan JAKOA di kawasan pedalaman | DagangNews Skip to main content

Persediaan banjir: KPLB gerakkan JAKOA di kawasan pedalaman

Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada majlis pelancaran Gerakan Veteran UMNO 'Keluarga Ku Pengundi BN' di Kuala Nerang, Kedah pada 18 September 2022.
Oleh Mohamad Iman

KUALA NERANG 18 Sept - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menggerakkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan penduduk di pedalaman menerima bantuan jika berlaku banjir pada musim tengkujuh nanti.

 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peranan JAKOA dan JKPP terbukti berkesan kerana pegawai dan pimpinan tempatan yang berpengalaman dan mengetahui selok belok kawasan masing-masing.

 

"Persediaan banjir ini (KPLB) dia ada prosedur operasi standard (SOP), contohnya di kawasan pedalaman kita ada JAKOA yang sudah ada SOP mereka dan nak buat apa, kalau dari 850 kampung orang asli di seluruh Semenanjung ini, dia (pegawai JAKOA) sudah tahu kawasan mana yang selalu banjir.

 

"Begitu juga dengan Ketua Kampung atau JPKK yang dilantik seluruh negara contohnya aliran hulu ke hilir sungai di daerah Padang Terap, mana kampung yang sebenarnya selalu banjir,  yang tepi sungai ini dia sudah hafal sepatutnya dan dia akan ambil tindakan."

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Gerakan Veteran UMNO 'Keluarga Ku Pengundi BN' di sini hari ini.


 

mahadzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada majlis pelancaran Gerakan Veteran UMNO 'Keluarga Ku Pengundi BN' di Kuala Nerang, Kedah pada 18 September 2022.

 


Jabatan Meteorologi Malaysia (Met) sebelum ini meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai November depan dan berisiko menyebabkan banjir besar.

 

Cuaca buruk juga diramal melanda negara kerana Monsun Timur Laut aktif pada bulan itu yang membawa hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar dijangka berlaku.

 

Selain JAKOA kata Mahdzir, semua agensi KPLB juga akan memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi bencana banjir.

 

Menurutnya, setiap agensi KPLB sudah mempunyai sasaran kawasan yang sering terjejas.

 

"Seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), mereka jaga pekebun-pekebun kecil, mereka juga tahu kawasan mana sering berlaku banjir dan mereka ada sasaran apa benda yang mereka patut buat dan semua agensi sudah ada peranan masing-masing dan sasaran mereka," kata Mahdzir.


 

mahadzir

 

mahadzir

 


Sementara itu, Mahadzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata, parti sedang dalam proses memuktamadkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa.


 
"Senarai calon itu akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO selepas melalui proses tapisan di peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri.
 

“Senarai calon ini sudah mula dikemukakan ke ibu pejabat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri dan selepas itu senarai akhir adalah apabila Pengerusi Perhubungan  UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan duduk bersama dengan barisan kepimpinan di peringkat tertinggi untuk muktamadkan.
 

“Pengerusi BN Kedah misalnya dia bawa senarai dan kita akan berbincang dengan dia di peringkat tertinggi. Negeri Perak, Perlis negeri mana-mana saja kita bincang, muktamadnya di situlah."


 
Mahdzir diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini bahawa pihaknya sudah menerima senarai calon daripada Badan Perhubungan UMNO negeri untuk PRU15.

 

Ditanya mengenai jumlah senarai calon yang sudah dihantar atau diterima, beliau berkata pihaknya tidak pasti mengenai jumlah sebenar.

 

Bagaimanapun katanya, ciri-ciri calon itu terdiri daripada individu yang berpengalaman dan daripada pelbagai latar belakang.

 

"Kategori calon-calon ini adalah hasil perbincangan antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri masing-masing bersama kepimpinan tertinggi parti dan gabungan.

 

"Di sana kita akan bincang dan akan tentukan sebab yang kemukakan itu daripada UMNO negeri, proses sedang berjalan, kita akan ambil yang berumur, berpengalaman, graduan semua itu berada dalam senarai dan ciri-ciri biasa pada pilihan raya umum ini."

 

Mengulas mengenai tarikh PRU15, Mahdzir berkata perkara itu akan ditentukan oleh Perdana Menteri setelah dibincangkan di peringkat pucuk pemimpin utama parti.

 

“Kita bincang tetapi prerogatif itu adalah daripada Perdana Menteri, dari segi tarikh apa semua itu, kita bincanglah, kita boleh tengoklah bila Perdana Menteri agak-agaklah bila dia nak buat kita akan bersidanglah,” katanya. 

 

Mengenai pelancaran Gerakan Veteran UMNO 'Keluarga Ku Pengundi BN' peringkat negeri Kedah, Mahdzir berkata veteran UMNO memiliki pengalaman luas dalam menyusun atur gerakan dalam menghadapi pilihan raya.

 

Justeru beliau menyeru agar veteran UMNO bersama-sama jentera parti untuk membantu memberi kemenangan kepada parti itu dalam PRU15 kelak. - DagangNews.com