Pertama Digital mohon lesen perbankan digital dari BNM, tubuh konsortium | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital mohon lesen perbankan digital dari BNM, tubuh konsortium


SHAH ALAM 23 AprilPertama Digital Berhad, syarikat pegangan pelaburan yang disenaraikan Papan Utama Bursa Malaysia, hari ini mengumumkan rancangan perbankan digitalnya dan sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi mengadakan usaha sama untuk memohon lesen dari Bank Negara Malaysia. Tarikh tutup permohonan tersebut adalah pada 30 Jun ini.

 

Pengarah Strategi, Saify Akhtar berkata, pihaknya bekerja keras untuk menyelaras modal, bakat, teknologi serta kawalan pasaran dan syarikat memiliki model perbankan unik serta mampan yang mampu memenuhi permintaan rangka kerja yang akan dijalankan nanti.

 

"Kami melihat ke hadapan untuk menyampaikan produk perbankan beretika bagi memenuhi permintaan orang Malaysia dan menyumbang kepada pemulihan selepas pandemik secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.  

 

Pertama Digital merupakan peneraju konsortium yang melibatkan pemain veteran di dalam industri, dan akan membawa penyelesaian ke pasaran tempatan, dibangunkan secara khusus untuk orang Malaysia yang amat memerlukan bentuk kewangan ini.

 

Pertama Digital merupakan syarikat pegangan DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd. (Dapat), syarikat tempatan yang mengkhususkan kepada pendigitalan perkhidmatan kerajaan. Ia menyediakan penyelesaian di dalam bentuk aplikasi mudah alih dan web, pembayaran mudah alih dan pesanan, pemerkasaan perniagaan, dan pengkhususan perkhidmatan digital. Dapat juga memiliki dan mengendalikan gerbang mySMS, aplikasi MyPay dan eJamin.

 

“Kami berpendapat ia memberi kelebihan kerana kami memiliki maklumat dan pembelajaran yang luas yang mana telah dibuktikan kejayaannya selain sistem yang berulang bagi memenuhi keperluan golongan yang tidak diberi perhatian di dalam transaksi dalam talian.

 

Apa yang membanggakan kami ialah melihat penyelesaian yang dibangunkan telah diguna pakai secara meluas oleh kebanyakan orang yang tidak pernah melakukan transaksi dalam talian. Ini menyebabkan kami mengambil keputusan untuk menggerakkan seluruh sumber yang ada bagi memberi perkhidmatan kepada golongan ini,” terang Saify.

 

Memulakan eJamin pada awal 2020, Pertama Digital kini memiliki pengetahuan berharga bagi memberi perkhidamatan kepada komuniti yang tidak diberi perhatian di dalam kewangan dan digital.

 

 “eJamin dibangunkan selepas perbincangan terperinci dengan Pejabat Ketua Pendaftar, pegawai mahkamah di seluruh negara, bank-bank dan orang ramai yang membayar bil.

 

"Kami bersyukur kerana budaya inovasi di mahkamah-mahkamah yang pantas menggunakan perkhidmatan digital di seluruh negara menyebabkan eJamin telah dilaksanakan merentasi semua mahkamah jenayah di Malaysia enam bulan lebih awal dari dijadualkan pada pertengahan tahun lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dapat, Amanda Sabri.

 

amandasabri
Amanda Sabri

 

Pertama Digital baru-baru ini mengumumkan peningkatan had perpindahan harian antara bank kepada RM500,000 berbanding RM30,000 sebelum ini yang telah diluluskan oleh Payments Networks Malaysia Sdn. Bhd (PayNet) bagi memenuhi permintaan sistem perundangan, yang terus beroperasi ketika pandemik. PayNet merupakan rangkaian bayaran negara dan berkongsi infrastruktur berpusat untuk pasaran kewangan negara di mana BNM merupakan pemegang saham terbesar.

 

“Pada 1 April lalu, Dapat memulakan bukti konsep untuk penukaran syiling kepada dana yang boleh digunakan di mana-mana akaun bank di Malaysia,” kata Amanda.

 

Beliau berkata bukti konsep itu beroperasi di Subang Parade, akan menjadi asas bagaimana orang ramai mengendalikan tunai di masa depan dan hasil dapatan itu akan dikongsi dengan BNM yang amat berminat untuk melihat usaha mengitar semula duit-duit syiling itu di dalam ekonomi.

 

Data permulaan menunjukkan penyertaan yang kuat daripada golongan yang tidak dilayan secara kewangan, seperti penghantar makanan yang masih mengumpul syiling dalam kegunaan harian.

 

Menurut BNM, terdapat RM3.5 bilion nilai syiling yang telah dicetak dan dianggarkan 30%s daripada syiling yang dikeluarkan setiap tahun tidak digunakan dan dibiarkan begitu sahaja di rumah.

 

“Pertama Digital telah menjadualkan pengumuman bersama dengan konsortium perbankan digital dan rakan kolaborasi, yang akan diedarkan tidak lama lagi," kata Saify. - DagangNews.com