Pertama Digital tambah kepentingan ekuiti dalam DAPAT Vista kepada 80% | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital tambah kepentingan ekuiti dalam DAPAT Vista kepada 80%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Pertama Digital Berhad menerusi anak syarikatnya, Television Airtime Services Sdn Bhd (TAS) telah melengkapkan pengambilalihan 24% lagi kepentingan ekuiti di dalam DAPAT Vista (M) Sdn Bhd daripada HeiTech Padu Berhad (HTP).

 

Ini menjadikan jumlah pegangan saham DAPAT Vista oleh TAS menokok kepada 80%, menurut makluman Pertama Digital di Bursa Malaysia. 

 

Sebelum ini, kumpulan sememangnya mendedahkan bahawa TAS mempunyai hak dan berhasrat untuk mengambil alih kepentingan di dalam DAPAT Vista sebagai tambahan kepada pemilikan 56% ekuiti. 

 

Menerusi 51% kepentingan ekuiti Pertama Digital di dalam TAS, kumpulan secara tidak langsung mempunyai kepentingan kira-kira 41% di dalam DAPAT Vista. 

 

Baca : Pertama Digital beli 24% lagi ekuiti syarikat perisian perkhidmatan kerajaan, DAPAT Vista

 

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, perniagaan DAPAT Vista berkembang tanpa henti semasa pandemik COVID-19 yang menggalakkan titik sentuhan digital berbanding secara fizikal. 

 

Saify Akhtar
Saify Akhtar

 

“Peningkatan kepentingan majoriti Pertama Digital di dalam DAPAT Vista membolehkan gabungan sumbangan yang lebih besar kepada keuntungan Pertama Digital,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DAPAT Vista, Amanda Sabri berkata bahawa syarikat itu melancarkan eJamin, penyelesaian pembayaran jamin mahkamah untuk telefon pintar pertama di dunia yang kini diguna pakai di semua mahkamah di Malaysia. 

 

Amanda Sabri
Amanda Sabri

 

“Pada 19 Julai 2021, kami memulakan projek rintis ke atas ciri-ciri eJamin+ untuk meningkatkan had pemindahan bank bagi pembayaran jaminan mahkamah daripada RM30,000 kepada RM500,000 dalam satu transaksi,” katanya. 

 

Sebelum tahun 2020, TAS memiliki 20% kepentingan di dalam DAPAT Vista dan selebihnya iaitu 80% dipegang oleh HeiTech. - DagangNews.com