Pertandingan kesedaran kecekapan tenaga elektrik di rumah, sifar karbon dan kelestarian alam sekitar capai matlamat | DagangNews Skip to main content

Pertandingan kesedaran kecekapan tenaga elektrik di rumah, sifar karbon dan kelestarian alam sekitar capai matlamat

Pemenang Pertandingan Kesedaran Kecekapan Tenaga Elektrik Di Rumah, Sifar Karbon dan Kelestarian Alam Sekitar (juga dikenali sebagai `Sinar Rimba 2021') anjuran bersama TNB dan Kelab Duta Rimba menerima hadiah daripada wakil-wakil TNB di negeri Melaka.

 

 


KUALA LUMPUR 17 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Duta Rimba (KDR) telah menganjurkan Pertandingan Kesedaran Kecekapan Tenaga Elektrik Di Rumah, Sifar Karbon dan Kelestarian Alam Sekitar (juga dikenali sebagai `Sinar Rimba 2021') bagi memupuk tabiat penggunaan tenaga elektrik yang cekap dan berhemah dalam kalangan pelajar sekolah.

 

Selain itu, pertandingan tersebut bertujuan mendidik generasi muda untuk mengelakkan pembaziran tenaga dan menjimatkan kos di samping menjaga kelestarian alam sekitar.

 

Pertandingan itu telah menerima seramai 1,562 penyertaan daripada 202 sekolah di 13 negeri, terdiri daripada para pelajar sekolah rendah bermula Tahun 4 hingga Tahun 6 dan pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga 5.

 

Penyertaan sekolah-sekolah dan para pelajar ini menunjukkan minat dan kesungguhan dalam mempraktikkan amalan tenaga elektrik secara cekap dan berhemah.

 

Bagi menyertai pertandingan tersebut, para peserta dengan bantuan ibu-bapa perlu memuat turun aplikasi TNB dan merekodkan bacaan bil elektrik selama empat bulan bermula Mei hingga Ogos 2021. Para pemenang dikenalpasti berdasarkan jumlah penurunan penggunaan tenaga elektrik sepanjang tempoh pertandingan tersebut.

 

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, dalam pertandingan ini, aplikasi myTNB berperanan sebagai platform digital yang memperkasakan para pelanggan dalam memantau penggunaan tenaga elektrik mereka. Ini menggalakkan amalan penggunaan elektrik secara berhemah di samping mengurangkan pembaziran elektrik.

 

“Langkah-langkah pemantauan dengan myTNB terbukti berkesan berdasarkan keputusan pertandingan ini yang dapat mengenalpasti seramai 305 peserta daripada 1,562 penyertaan telah berjaya menurunkan penggunaan tenaga elektrik melebihi 10% dan ke atas selama 4 bulan berturut-turut semasa PKP 3.0.

 

TNB
Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (tiga, kanan) menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Sinar Rimba 2021 secara maya yang disertai lebih 200 wakil-wakil pentadbir sekolah, para pemenang dan ibu bapa/penjaga pada 11 November 2021.

 

 

“Pencapaian mereka membuktikan bahawa amalan penggunaan tenaga elektrik yang cekap dan berhemah boleh menghasilkan penjimatan tenaga dan perbelanjaan melalui kawalan penggunaan 12 peralatan elektrik utama di rumah.

 

''Saya percaya generasi muda kita adalah penentu masa depan dalam memastikan komuniti Malaysia adalah cekap tenaga dan berubah kepada gaya hidup pintar (smart lifestyle),” kata Megat dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Daripada 1,562 peserta, seramai 108 para pelajar telah dikenal pasti sebagai pemenang dalam kategori persekolahan mereka termasuk 35 sekolah di Semenanjung Malaysia yang mempunyai jumlah peserta tertinggi di negeri masing-masing.

 

Kesemua 1,562 peserta dikirimkan Sijil Penyertaan Pertandingan dan seramai 35 pelajar layak menerima markah pencapaian Peringkat Kebangsaan dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

 

 

TNB

 

TNB

 

 

Hadiah-hadiah sejumlah RM47,250 dalam bentuk baucar beli-belah juga dihantar secara peribadi oleh wakil-wakil TNB di negeri masing-masing untuk memaklumkan kejayaan para pemenang.

 

Presiden Kelab Duta RimbaGanesan S. Sittrambaram berkata, semua murid yang menyertai pertandingan ini akan menerima Sijil Penyertaan dan Lencana Program manakala pemenang bagi setiap kategori tahun persekolahan pula akan menerima Sijil Pencapaian.

 

Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia telah bersetuju memberi pengiktirafan Markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat Kebangsaan dalam Penglibatan 1 kepada semua murid sekolah yang menyertai program pertandingan ini dan Pencapaian Peringkat Kebangsaan kepada 35 pemenang yang layak. 

 

Pengumuman keputusan pertandingan ini dibuat secara maya di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Sinar Rimba 2021 pada 11 November 2021. Majlis yang diadakan secara maya ini telah dihadiri oleh lebih 200 para hadirin termasuk wakil-wakil pentadbir sekolah, para pemenang dan ibu-bapa/penjaga mereka di kediaman masing-masing.

 

Majlis penyampaian ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Shamsuddin Mustapha Bersama Ketua Pegawai Operasi, Suruhanjaya Tenaga, Ir. Abdul Rahim Ibrahim, Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, dan Presiden Kelab Duta Rimba@Jungle Ambassador, Ganesan S. Sittrambaram.  - DagangNews.com