Skip to main content

Pertanian di kawasan tanah talian TNB dibenarkan - Takiyuddin

KUALA LUMPUR 9 Mac - Aktiviti penggunaan tanah, termasuk pertanian khususnya tanaman kontan, boleh diusahakan di kawasan terletak dalam koridor talian pembekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sebarang aktiviti pertanian atau kegunaan tanah bagaimanapun perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah, selain memenuhi syarat ditetapkan Suruhanjaya Tenaga (ST) berdasarkan garis panduan Izinlalu Talian Pembekalan Elektrik.

 

Beliau menjelaskan, tiada istilah tanah rizab TNB, sebaliknya hanya tanah yang terletak dalam laluan talian pembekalan elektrik yang mempunyai perjanjian izinlalu yang masih dimiliki pemilik tanah dan TNB cuma pemegang lesen untuk memasang atau menyelenggara talian bekalan elektrik.

 

"Individu yang berminat untuk mengusahakan tanah itu perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah, iaitu pihak berkuasa negeri bagi tanah milik kerajaan negeri dan sekiranya tanah itu milik persendirian, perlu mendapatkan kebenaran pemilik melalui sewaan atau pajakan.

 

"Kebenaran daripada TNB juga diperlukan sebagai pemegang lesen bagi memastikan garis panduan yang ditetapkan ST itu dipatuhi," katanya menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Sebagai contoh, Takiyuddin berkata, garis panduan ST menyatakan tanaman yang diusahakan mesti mempunyai ketinggian tumbesaran semula jadi tidak melebihi 1.8 meter atas faktor keselamatan, lapor Bernama.

 

 

takiyuddin
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

 

 

Beliau berkata, antara aktiviti lain yang boleh diusahakan di kawasan tanah terbabit ialah dijadikan padang ragut ternakan, kawasan kolam tadahan, kolam udang, kawasan parkir kereta serta untuk pemasangan paip air. - DagangNews.com