Skip to main content

Pertaruh khasiat Sacha Inchi menerusi Program Aspirasi Keluarga Malaysia untuk pasaran global

OLEH RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 21 Mei - Khasiat yang tersembunyi disebalik Sacha Inchi memberi keyakinan kepada pengusaha untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan tanaman berkenaan.

 

Pemilik Jachel Sdn. Bhd., Jenny John, 40, berkata, sebaik mengenali tanaman sejak 2019, dia menghantar beberapa sampel bermula dari daun hingga ke akar untuk mengetahui khasiat sebenarnya.

 

Kataya, berdasarkan proses penyelidikan yang dibuat itu, sacha inchi didapati mampu menjadi sumber protein untuk makanan, perubatan, kesihatan dan dijadikan produk kecantikan.

 

“Keyakinan dan harapan itu direalisasikan menerusi pengeluaran produk antaranya coklat, lima jenis sabun penjagaan kulit, serum kecantikan untuk lelaki dan wanita serta teh berasaskan sacha inchi.

 

“Malah yang terbaru kami menghasilkan kuah kacang sacha inchi sebagai pengganti kepada cecahan kuah kacang tanah untuk makanan seperti sate dan makanan tradisi ‘kolopis’ yang berasaskan beras pulut,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian kepada DagangNews.Com ketika ditemui pada program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

 

akm

 

Jenny berkata, sebelum ini ramai peminat makanan berkenaan terpaksa melupakannya kerana tidak dibenarkan mengambil makanan berasaskan kacang.

 

Namun katanya, disebabkan impak khasiatnya yang baik untuk kesihatan, mereka boleh menikmati makanan kegemaran ramai itu semula.

 

“Selain memberi impak yang baik, sacha inchi juga amat mudah untuk ditanam dan bersesuaian dengan cuaca di negara ini.

 

akm

 

“Tanaman sacha inchi ini berasal dari Peru dan Brazil mempunyai pelbagai lagi potensi lain untuk dikembangkan,” katanya.

 

Sehubungan itu, Jenny berkata, sebaik mengetahui penganjuran program AKM kali ini di Sabah, dia mengambil pendekatan untuk terus mendaftar sebagai salah seorang pempamer.

 

“Diharapkan dengan adanya platform seperti ini akan mampu menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara yang kini amat memerlukan satu lonjakan baharu bagi menghadapi pasca Covid-19,” katanya. - DagangNews.Com