Pertikaian Laut China Selatan: Malaysia terus tekankan penyelesaian berdiplomasi | DagangNews Skip to main content

Pertikaian Laut China Selatan: Malaysia terus tekankan penyelesaian berdiplomasi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Malaysia berpendirian teguh bahawa perairan Laut China Selatan perlu bebas daripada sebarang kehadiran kapal-kapal perang bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan. 

 

Ini dilaksanakan menerusi saluran diplomasi untuk berdepan pengaruh ketenteraan negara asing di Laut China Selatan. 

 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan Malaysia sentiasa menekankan agar semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang antarabangsa termasuk konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Undang-Undang Laut 1982. 

 

“Ini termasuk menghormati kedaulatan wilayah dan perairan serta kebebasan perairan dan penerbangan. 

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

“Isu (pertikaian) Laut China Selatan perlu diselesaikan secara diplomatik. Kementerian Luar yang berperanan dalam membincangkan apa sahaja isu yang berkaitan pertembungan, di mana melibatkan kuasa-kuasa besar,” kata Ismail Sabri di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau mengulas cadangan yang dilontarkan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berhubung kaedah diplomasi pertahanan Laut China Selatan melalui kerjasama Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FDPA) melibatkan Malaysia, Singapura, New Zealand, United Kingdom (UK) dan Australia.

 

Pertikaian Laut China Selatan telah tercetus sekian lama namun pada awal tahun ini, China dengan tegas menekankan keinginan negara itu untuk menuntut perairan berkenaan. 

 

Pada Februari tahun ini, kapal tentera laut China dilapor menyasarkan sistem kawalan senjatanya ke arah kapal laut Filipina di Kepulauan Spratly. 


 

Bukan itu sahaja, China turut membuka stesen penyelidikan baharu di mana Vietnam tidak berdiam diri apabila membuat aduan secara rasmi terhadap tindakan negara berkenaan. 

 

Isu pertikaian Laut China Selatan turut dibangkitkan sebagai agenda utama pada Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun ini. 

 

Agenda utama dalam sidang kemuncak itu tertumpu ke arah ketegangan Laut China Selatan di mana kapal dari China kelihatan di perairan dari Vietnam, Malaysia dan Indonesia memandangkan Beijing berusaha untuk menuntut laluan air itu.

 

China menuntut kira-kira 80% daripada Laut China Selatan di mana kebanyakan besarnya merangkumi zon ekonomi eksklusif (EEZ) serta Kepulauan Paracel dan Spratly. 

 

Ia juga bertindih dengan EEZ anggota ASEAN termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina. - DagangNews.com