Pertimbang lanjutkan Program Subsidi Upah hingga Ogos 2021 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pertimbang lanjutkan Program Subsidi Upah hingga Ogos 2021 - Penganalisis

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 supaya diteruskan sehingga Ogos 2021, memandangkan pelaksanaannya terbukti dapat mengawal kadar pengangguran daripada meningkat. 

 

Bagi Profesor Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SEP), Universiti Putra Malaysia (UPM), PSU berperanan sebagai serampang dua mata iaitu meneruskan kelangsungan perniagaan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta membantu rakyat untuk terus memperoleh pendapatan.

 

“PSU 3.0 akan berakhir pada bulan Jun 2021 dan ia perlu diteruskan oleh kerajaan (kerana) benar-benar memberikan kesan yang positif untuk membantu peniaga terutamanya PKS untuk terus bernafas. PSU yang terdiri daripada PSU 1.0, PSU 2.0 dan PSU 3.0 telah berjaya menurunkan kadar pengangguran negara. 

 

Anuar Shah Bali Mahomed
Anuar Shah Bali Mahomed

 

“PSU ini berperanan sebagai serampang dua mata iaitu meneruskan survival perniagaan terutamanya PKS agar tidak gulung tikar dan seterusnya membantu rakyat Malaysia agar terus memperoleh pendapatan melalui peluang pekerjaan yang masih ada walaupun berkemungkinan pendapatan mereka berkurangan,” jelas Anuar Shah kepada DagangNews.com.

 

Kerajaan melalui pakej rangsangan yang terbaharu, Pemerkasa Plus bersetuju untuk melanjutkan PSU 3.0 selama sebulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan peruntukan RM1.5 bilion dan had 500 pekerja bagi setiap permohonan.

 

Lanjutan program tersebut dijangka memanfaatkan 2.5 juta pekerja dan lebih 200,000 majikan.

 

Ketika ditanya mengenai potensi isu penipuan dalam kalangan majikan berhubung bantuan tersebut, ujar beliau, sekiranya pelaksanaan tiga bulan PSU sehingga Ogos 2021 diteruskan, maka kerajaan boleh menumpukan usaha bagi mempertingkatkan pemantauan terhadap sistem pelaksanaan program tersebut.

 

Ini termasuk kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta berkaitan dari segi perkongsian data yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan dan sampai kepada mereka yang memerlukan.

 

Sementara itu, Anuar Shah yang turut mengulas mengenai penambahan Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM500 kepada RM1,500 di bawah pakej rangsangan sama, percaya langkah berkenaan sedikit sebanyak akan memberi nafas kepada PKS dan secara tidak langsung mendatangkan peluang pekerjaan seterusnya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Baca : Pemerkasa Plus untuk PKS disaran berjangka panjang, kata pakar ekonomi 

 

Memetik kaji selidik Kesan PKP 1.0 terhadap isi rumah dan perniagaan oleh Kementerian Kewangan, beliau berkata, penguatkuasaan tersebut antara lain telah menggugat mata pencarian 2.8 juta rakyat yang bekerja sendiri atau mengambil upah harian termasuk 68% perniagaan melaporkan tiada jualan atau hasil dan 42.5% perniagaan memerlukan lebih enam bulan untuk pulih.

 

“Kerajaan telah dan akan berbelanja sebanyak RM4.8 bilion yang melibatkan GKP 1.0, GKP 2.0, GKP Permai dan GKP3.0. 

 

“Perkara ini amat penting disebabkan PKS menyumbang sekitar 66% pekerjaan buat rakyat Malaysia dan menyumbang 38% hingga 40% KDNK negara,” kata beliau lanjut. - DagangNews.com