Skip to main content

Pertumbuhan dalam langganan jalur lebar tetap, TM catat hasil RM8.38 bilion 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 NOV - Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh bagi keputusan kewangan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 dengan peningkatan 6.8% kepada RM8.38 bilion, daripada RM7.84 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, pencapaian tersebut didorong oleh peningkatan hasil daripada semua barisan produk, khususnya perkhidmatan Internet yang menyaksikan peningkatan 6.8% berikutan pertumbuhan mantap dalam pangkalan pelanggan jalur lebar tetap.

 

Katanya, Pendapatan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) turut meningkat 17.1% kepada RM1.41 bilion daripada RM1.2 bilion disumbangkan oleh pertumbuhan hasil dan inisiatif pengoptimuman kos berterusan. 

 

Jelasnya, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI)  Kumpulan julan naik 7.7% kepada RM815.3 juta berbanding RM756.7 juta, berikutan keuntungan operasi yang kukuh.

 

"Sepanjang 2021, kami telah menumpukan usaha untuk menyampaikan ketersambungan dan penyelesaian digital dalam menyokong kemampanan dan pemulihan negara kita. 

 

"Hasilnya, kami dapat menyampaikan satu lagi keputusan kewangan suku tahunan yang kukuh dalam hasil dan pertumbuhan keuntungan bersih.

 

"Tumpuan kami seterusnya adalah untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan dan mengukuhkan penawaran digital merentasi semua segmen pelanggan di unifi, TM ONE dan TM Wholesale," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Tambahnya, dengan sekatan kawalan pergerakan di Malaysia terus dilonggarkan dan ekonomi meningkat pesat, TM terus komited untuk berkhidmat kepada negara. 

 

"Kami akan terus memainkan peranan utama dalam pemacu pendigitalan Malaysia yang digariskan oleh pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12, termasuk pelan tindakan MyDIGITAL," katanya.

 

Dalam pada itu beliau berkata, memacu penggunaan digital dan cara baharu bekerja dalam era pasca-pandemik TM mencatatkan peningkatan tertinggi dalam pelanggan unifi untuk tiga suku berturut-turut. Pada suku dalam tinjauan, TM mencatatkan pertambahan 210,000 pelanggan baharu unifi baharu dalam kedua-dua segmen pengguna dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS). 

 

"Pertumbuhan yang memecahkan rekod ini didorong oleh permintaan tinggi untuk alat ketersambungan dan pendigitalan yang telah menjadi keperluan penting. 

 

"Untuk memastikan penyampaian berkualiti, TM telah menambah bilangan port jalur lebar dan menyampaikan liputan rangkaian gentian yang lebih luas," katanya. -DagangNews.com