Pertumbuhan ekonomi dijangka lebih kukuh pada suku pertama 2022 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan ekonomi dijangka lebih kukuh pada suku pertama 2022 - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama hari ini, yang mana ia dijangka merekodkan pertumbuhan kukuh.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang 4.7% pada suku pertama 2022 melebihi unjuran konsensus pada 4%.

 

Firma itu berkata, prestasi lebih baik pada suku itu disokong terutamanya menerusi sektor perkhidmatan yang kukuh di tengah-tengah pelonggaran sekatan pergerakan.

 

Bagaimanapun, katanya, sektor pembuatan dan pertanian dijangka menyederhana, manakala perlombongan dan pembinaan berkemungkinan mencatatkan penguncupan pada suku pertama.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan sektor perkhidmatan yang pantas adalah konsisten dengan indeks volum perkhidmatan, terutamanya didorong oleh penambahbaikan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan dan pengangkutan serta penyimpanan memandangkan aktiviti pelancongan mula meningkat. 

 

"Pengeluaran pembuatan kekal meningkat, walaupun dalam kadar yang lebih perlahan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

rel

 

 

Secara keseluruhan, HLIB menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang dengan trajektori positif pada tahun ini. 

 

Namun begitu, katanya, prospek kekal terdedah kepada risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan ketegangan geopolitik.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran KDNK 2022 pada 5.5% dan menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan 50 mata asas dalam mesyuarat Julai dan September ekoran jangkaan pemulihan berterusan ekonomi negara," jelasnya.

 

Sementara itu, MARC Ratings mengunjurkan KDNK bagi suku pertama akan berkembang 3.9% di sebalik berdepan beberapa ketidaktentuan luaran, dalam mempercepatkan momentum pemulihan.

 

Menurut agensi penarafan itu, indikator menunjukkan pemulihan ekonomi Malaysia kekal di landasan yang betul dan momentum itu mungkin meningkat sedikit pada suku pertama.

 

Katanya, peningkatan jumlah kes positif COVID-19 pada pertengahan suku pertama nampaknya memberi kesan terhad kepada penggunaan.

 

Bagi tempoh tersebut, jualan perdagangan pengedaran mencatatkan pertumbuhan besar sebanyak 8% tahun ke tahun secara purata dalam 2 bulan pertama 2022 berbanding 5.1% pada suku keempat 2021, manakala kadar pengangguran menurun secara beransur-ansur, mencapai 4.1% pada tahun suku pertama.

 

"Bagaimanapun, pertumbuhan pada suku pertama ini akan jauh lebih tinggi tanpa kelembapan dalam pengeluaran perindustrian. 

 

"Dari segi imbangan, kami masih mengunjurkan pertumbuhan KDNK benar yang lebih kukuh sebanyak 3.9% tahun ke tahun pada suku pertama berbanding 3.6% yang dicatatkan pada suku keempat 2021,” katanya.

 

MARC turut menjangkakan pertumbuhan akan terus kukuh sepanjang 2 suku tahun akan datang, dipacu dengan kesan asas yang menggalakkan, dasar fiskal yang menyokong, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan penarikan semula sekatan berkaitan pandemik COVID-19. - DagangNews.com