Pertumbuhan jangka panjang MYEG dijangka lebih stabil menerusi penerokaan teknologi blockchain | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan jangka panjang MYEG dijangka lebih stabil menerusi penerokaan teknologi blockchain

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - MIDF Research menjangkakan langkah MY EG Services Berhad menerokai bidang teknologi blockchain akan membuka jalan untuk pertumbuhan jangka panjang yang lebih stabil berbanding perniagaan sedia ada. 

 

Firma itu berkata, MYEG akan mengewangkan Zetrix dengan mengenakan yuran gas, yuran penjejakan pada kebolehkesanan rantaian bekalan dan yuran transaksi perdagangan rentas sempadan.

 

"Bagaimanapun, kami tidak menetapkan sebarang unjuran sumbangan pendapatan daripada Zetrix kerana masih menunggu maklumat terperinci mengenai kos pengurusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, MYEG menerusi Zetrix blockchain dan Xinghuo Blockchain Infrastructure and Facility(Xinghuo BIF) mengumumkan pegenalan Pengecam Berasaskan Blockchain (BID)/Pengenalan Boleh Disahkan (VC) dan perkhidmatan E-tandatangan berasaskan Blockchain ke pasaran antarabangsa.

 

Xinghuo BIF ialah infrastruktur blockchain antarabangsa yang dimulakan oleh China yang disokong oleh kerajaan China manakala blockchain Zetrix menjalankan Supernode Antarabangsa Xinghuo BIF untuk menghubungkan entiti di luar China ke Xinghu.

 

Firma itu berkata, memandangkan ID digital semakin popular di dalam sistem identiti digital, pihaknya berpendapat bahawa Zetrix mengambil langkah yang betul menyepadukan ID digital ke dalam platformnya.

 

Katanya, platform itu menggunakan pelbagai teknik kriptografi dalam memastikan keselamatan data dan direka  supaya ia boleh menyokong keperluan pengguna.

 

"Penyepaduan ID digital dalam platform Zetrix akan menyediakan perniagaan, kecil dan besar selain menyusun semula proses pengurusan identiti mereka dan mengurangkan risiko penipuan.

 

"Syarikat juga boleh mengesahkan identiti pekerja, pelanggan dan rakan kongsi dengan mudah selain membantu perniagaan menjejaki identiti mereka dan menghalang capaian yang tidak dibenarkan kepada sistem," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.25. - DagangNews.com