Peruntukan JanaNiaga dijangka cecah RM1.2 bilion | DagangNews Skip to main content

Peruntukan JanaNiaga dijangka cecah RM1.2 bilion

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap ketika melancarkan platform JanaNiaga hari ini secara maya.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Peruntukan di bawah platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional, JanaNiaga dijangka mencecah RM1.2 bilion ringgit dengan pembiayaan tambahan daripada institusi kewangan yang akan menyertainya secara berfasa.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dengan purata tempoh invois selama 90 hari, jumlah tersebut akan menyumbang sebanyak RM4.8 billion setahun kepada kecairan tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Katanya, pada peringkat awal ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Telekom Malaysia Bhd. (TM).

 

"Dengan sokongan syarikat milik kerajaan, pembekal-pembekal PKS ini akan menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5% setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100%, jauh lebih rendah daripada pembiayaan pada kadar biasa. 

 

"Permohonan pembiayaan juga dibuat secara dalam talian, membolehkan setiap permohonan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja," katanya sempena pelancaran JanaNiaga secara maya hari ini.

 

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan Ketua Pegawai Bertugas Exim Bank, Chin Chon Young; Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Mohd Nizam Zainordin dan Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin.

 

JanaNiaga diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2021 dan diterajui Exim Bank dengan beberapa institusi kewangan di Malaysia bagi membantu PKS ketika berdepan tempoh mencabar ketika ini.

 

Bagi memastikan bantuan kepada PKS dapat diberikan dengan secepat mungkin, peruntukan sebanyak RM300 juta telah disediakan oleh Exim Bank untuk menggerakkan JanaNiaga.

 

 

jananiaga

 

 

Platform ini akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama. 

 

Bantuan kepada PKS ini akan diberikan melalui pinjaman daripada institusi-institusi kewangan melalui platform JanaNiaga ini.

 

Tengku Zafrul berkata, platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional seperti JanaNiaga ini memberi faedah besar kepada ekosistem dan telah diguna pakai secara meluas oleh sektor ekonomi negara luar. 

 

"Penggunaan platform ini menyokong pemulihan ekonomi jangka panjang dan selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan pendigitalan serta pengunaan teknologi baharu bagi mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," katanya. - DagangNews.com