KUALA LUMPUR 27 Mac - Peruntukan sebanyak RM300 juta bagi program e-Pemula dijangka memberi manfaat kepada lebih 2 juta belia di negara ini.
Program itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi merupakan Skim Transaksi Tanpa Tunai khas untuk golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, melalui program e-Pemula, sebanyak RM150 akan dikreditkan secara one-off ke dalam akaun e-dompet para belia.
Katanya, terdapat banyak dana dan pembiayaan yang disediakan khas untuk golongan belia melalui Bajet 2022.
“Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang usahawan muda, Pelan Pembiayaan Belia Usahawan sebanyak RM150 juta ditawarkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam Bengkel Pengurusan Kewangan My Money & Me sempena Global Money Week 2022 yang diadakan secara maya hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga telah mula membayar elaun sebanyak RM900 kepada pelajar yang menjalani program latihan industri sejak 2019 bagi membantu mengurangkan beban kewangan golongan belia.
Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan mengingatkan golongan muda mengenai kepentingan masa depan dan amalan konsep pengurusan kewangan yang positif.
“Bagi mencapai tahap kesejahteraan kewangan yang positif, anda perlu membiasakan diri dengan konsep kawalan diri.
“Kawalan diri akan membolehkan anda mengagihkan simpanan dan berjinak-jinak dengan dunia pelaburan serta menerajui pelan takaful dan insurans yang sedikit sebanyak akan membantu memastikan tahap kesejahteraan kewangan,” jelasnya. -DagangNews.com