Skip to main content

Petronas Gas catat untung bersih FY20 RM2.01 bilion

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Petronas Gas Berhad (PetGas) menyaksikan keuntungan bersih syarikat menokok 3.8% pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20) kepada RM2.01 bilion berbanding RM1.93 bilion pada tahun sebelumnya. 

 

PetGas turut mencatatkan perolehan yang melonjak 2.5% kepada RM5.59 bilion daripada RM5.46 bilion pada 2019.

 

“Perolehan segmen regasikasi dan pengangkutan gas meningkat sebanyak RM182.5 juta, seiring dengan tarif Tempoh Peraturan 1 (RP1) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.

 

“Namun, ini diimbangi oleh perolehan segmen utiliti yang lebih rendah berikutan penurunan penjualan lebihan elektrik,” kata PetGas menurut laporan Bernama. 

 

Bagi tahun kewangan berkenaan, lembaga pengarah syarikat meluluskan pengisytiharan dividen interim keempat bernilai 22 sen sesaham. 

 

Ini melibatkan jumlah RM435.3 juta dengan dividen interim khas pada kadar 5.0 sen sesaham berjumlah RM98.9 juta.

 

Dalam pada itu, PetGas mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM503.35 juta pada suku keempat (4Q20) berbanding RM485.27 juta pada suku sama 2019. 

 

Bagi prospek masa depan kumpulan syarikat, PetGas melihat perniagaan segmen pengangkutan dan regasikasi gas dijangka terus menyumbang secara positif terhadap pendapatan kumpulan di bawah tarif RP1. 

 

Selain itu, segmen pemprosesan gas juga diunjur kekal stabil, didorong oleh aliran pendapatan lebih kukuh dan mampan di bawah Perjanjian Pemprosesan Gas 20 tahun yang berkuat kuasa pada 2019 hingga 2023. 

 

“Penularan pandemik COVID-19 dijangka tidak memberi impak ketara terhadap keseluruhan pendapatan kumpulan berikutan model perniagaan dan kontrak jangka panjang yang memastikan aliran hasil yang kukuh, khususnya bagi segmen pemprosesan gas, pengangkutan gas dan regasikasi,” katanya.  - DagangNews.com