Petronas Gas catat untung bersih RM432 juta bagi suku pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

Petronas Gas catat untung bersih RM432 juta bagi suku pertama 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Petronas Gas Berhad merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM432 juta selepas meraih pendapatan RM1.46 bilion bagi suku pertama 2022.

 

Keputusan itu disumbangkan oleh prestasi operasi dan pendapatan stabil yang hadir daripada aliran kontrak jangka panjang kumpulan itu.

 

Petronas Gas  juga mengumumkan pemberia dividen sebanyak 16 sen sesaham yang menyamai RM316.60 juta sama seperti suku sama pada tahun lalu dan ia mencerminkan daya tahan kumpulan dalam mengekalkan prestasinya walaupun berdepan cabaran besar dalam pasaran semasa.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, pendapatan kumpulan adalah sebanyak RM1.46 bilion lebih tinggi berbanding RM1.34 bilion yang dicatat pada suku sama tahun lalu dan perkembangan itu disumbangkan oleh perniagaan utiliti yang menyaksikan peningkatan harga produk selaras dengan kenaikan harga bahan api.

 

Berbanding dengan suku sebelumnya, pendapatan kumpulan adalah setanding dengan hasil Q4FY21 sebanyak RM1.5 bilion.

 

Keuntungan kasar untuk suku yang sama adalah sebanyak RM612 juta lebih rendah berbanding RM712 bilion pada suku sama tahun lalu akibat margin yang lebih rendah dalam segmen utiliti.

 

Ia diikuti harga bahan api yang tinggi untuk bekalan elektrik pasaran dan keuntungan selepas cukai (PAT) untuk suku itu berada pada RM438 juta berbanding RM540 juta pada suku sama tahun lalu.

 

PAT yang dicatatkan adalah lebih rendah akibat keuntungan syarikat kerjasama yang lebih rendah selain kesan daripada Cukai Makmur yang diperkenalkan pada 2022.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Abdul Aziz Othman berkata, prestasi kewangan untuk suku pertama mencerminkan komitmen mereka dalam operasi harian dan pengurusan kos yang baik walaupun berdepan cabaran besar.

 

"Kami telah membuat beberapa pembaharuan kontrak dengan pelanggan utiliti jangka panjang pada suku ini dan pada masa hadapan kami menyasarkan untuk menyelesaikan baki pembaharuan kontrak utiliti yang akan menyumbang lebih positif dalam segmen ini selain mencari pasaran komersial baharu.

 

"Kami juga akan lebih fokus dalam pengurusan dan kecekapan kos kumpulan sepanjang tahun ini untuk megatasi kenaikan harga minyak," katanya. - DagangNews.com