Petronas peruntuk 9% daripada capex untuk tenaga baharu | DagangNews Skip to main content

Petronas peruntuk 9% daripada capex untuk tenaga baharu

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memperuntukkan 9% daripada perbelanjaan modal (capex) tahun ini bagi tenaga baharu . 

 

Langkah ini adalah sejajar dengan komitmen kumpulan bagi mencapai Pelepasan Sifar Bersih Karbon menjelang 2050. 

 

Peruntukan itu juga adalah lebih tinggi berbanding 5% daripada capex pada tahun lalu. 

 

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, aspirasi itu akan membantu Petronas mencipta nilai dengan menyediakan tenaga yang lebih bersih secara meluas kepada komuniti. 

 

"Bagaimanapun, kami percaya dengan apa yang kami miliki dalam kumpulan dengan portfolio gas merangkumi 70% dan berada dalam kedudukan yang baik dalam menghadapi peralihan tenaga ini. 

 

"Sebagai pemain global dalam industri tenaga yang menyedari peralihan tenaga yang akan berlaku, yang akan dipercepatkan dengan penumpuan teknologi, perundangan dan pilihan pelanggan, kami harus menetapkan perjalanan syarikat dan memutuskan bagaimana ingin bertahan dan berkembang," katanya. 

 

Beliau berkata dalam pembentangan prestasi kewangan Petronas bagi suku keempat dan tahun berakhir 2020 yang turut dihadiri Pengerusi Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Liza Mustapha.

 

Dalam sidang akhbar itu juga, Petronas mengumumkan pelantikan Charlotte Wolff-Bye sebagai Ketua Pegawai Kelestarian berkuat kuasa 1 Jun 2021. Beliau akan bekerjasama dengan pasukan dalam merangka perjalanan kelestarian jangka panjang Petronas.

 

Sementara itu, ditanya mengenai spekulasi kerjasama antara Petronas dan Saudi Aramco dalam projek RAPID, Pengerang, Tengku Muhammad Taufik berkata, kedua-dua pihak masih kekal komited terhadap perjanjian tersebut. 

 

Beliau berkata, ini bagi memastikan kejayaan operasi permulaan fasiliti ini yang mempunyai kapasiti 300,000 tong sehari. 

 

"Kami sentiasa berhubung dengan pihak Saudi Aramco dan menyalurkan maklumat yang diperlukan. Pada tahap ini, saya tidak mahu melayan sebarang spekulasi yang berlegar-legar (melibatkan kerjasama ini," katanya. 

 

Mengenai operasi Pengerang, beliau memberitahu, kemudahan ini dijangka dapat kembali beoperasi pada awal separuh kedua tahun ini berbanding sasaran awal suku pertama 2021. 

 

Situasi ini mengambil kira pandemik COVID-19 yang masih berleluasa dan menyebabkan operasi semula Pengerang terpaksa disemak semula, jelasnya. 

 

"Ketika ini, kami sedang mengambil langkah-langkah berkesab terutama dalam menangani pengurusan pekerja di tapak yang ketika ini mencecah 4,000 orang dan kontraktor termasuk kakitangan Petronas kira-kira 2,000 orang," jelasnya. 

 

Aramco memiliki 50% kepentingan dalam projek ini dan akan membekalkan separuh daripada minyak mentahnya dengan pilihan untuk meningkatkannya sehingga 50% apabila ia beroperasi sepenuhnya. 

 

Pada 15 Mac lalu, berlaku insiden kebakaran dan letupan di Unit Diesel Hydrotreating di RAPID, Kompleks Bersepadu Pengerang yang mengorbankan 5 pekerja.

 

Mengenai pelaksanaan Pusingan Bidaan Malaysia 2021 (MBR 2021), beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat minyak dan gas nasional itu untuk memacu dan menyemarakkan landskap penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia, sekali gus mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan bertaraf dunia.

 

"Petronas percaya terdapat banyak nilai yang belum diestrak, dengan kira-kira 20 bilion tong minyak belum lagi diterokai di Malaysia dan sememangnya negara ini mempunyai potensi rizab yang besar.

 

"Dengan 13 blok ditawarkan, MBR 2021 menggabungkan ciri-ciri baharu termasuk tawaran blok inovatif, pilihan bidaan yang fleksibel, tempoh penerokaan dua fasa serta akses data dan ketelusan," jelas beliau. -  DagangNews.com