Petronas tandatangani PPA dengan Sarawak Energy | DagangNews Skip to main content

Petronas tandatangani PPA dengan Sarawak Energy

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Sarawak Energy Bhd. memeterai terma perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menyediakan bekalan tenaga kepada kompleks Malaysia LNG di Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak. 

 

Di bawah terma perjanjian itu, Sarawak Energy menerusi anak syarikatnya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO) akan membekalkan tenaga 90 megawatt (MW) bagi bekalan elektrik 275kV di kompleks tersebut mulai Mac 2024 bagi tempoh 20 tahun. 

 

Ini secara tidak langsung akan meningkatkan penggunaan tenaga bersih dan operasi pengurangan karbon di kompleks berkenaan sejajar dengan aspirasi Petronas mencapai Pelepasan Sifar Bersih Karbon menjelang 2050.

 

Dalam satu majlis yang diadakan semalam secara maya, perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia LNG Group of Companies and Petronas LNG Bhd., Mohamed Syazwan Abdullah yang mewakili Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili. 

 

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyaksikan majlis pemeteraian itu menyifatkan ia satu pencapaian penting antara Sarawak Energy dan Petronas. 

 

Beliau berkata, perjanjian itu membolehkan Sarawak berkongsi sumber tenaga diperbaharui dengan pemain industri tenaga bagi membangunan tenaga yang lebih mapan pada masa depan. 

 

"Komitmen dalam menyediakan bekalan tenaga 90MW ini bukan sahaja menandakan keyakinan terhadap keupayaan Sarawak Energy tetapi juga menzahirkan keyakinan Petronas bagi operasi jangka panjang mereka di Sarawak," katanya dalam kenyataan. 

 

Malah, menurutnya, Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) antara Petronas dan Sarawak yang ditandatangani pada 7 Disember lalu akan menjadi petunjuk kepada kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pembangunan hiliran dan huluan bagi sumber minyak dan gas di Sarawak untuk manfaat bersama. 

 

Perjanjian yang dimeterai 4 Mac 2021 ini juga didorong oleh memorandum persefahaman yang ditandatangani 10 November lalu antara kedua-dua pihak (Petronas dan Sarawak Energy) untuk meneroka pengeluaran hidrogen hijau secara komersial untuk membangunkan ekonomi hidrogen hijau di negeri ini dan di luar Sarawak.

 

"Terma lembaran perjanjian yang ditandatangani hari ini (4 Mac) secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang dipacu kemapanan," katanya.

 

Beliau berkata, Sarawak akan terus menjadi destinasi pelaburan utama di negara ini dengan merekodkan pelaburan bernilai RM19.6 bilion tahun lalu. 

 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan memastikan semua pelaburan dapat mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi kepada negeri yang akan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mapan.

 

"Kami sentiasa berusaha untuk mencapai keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan alam sekitar. 

 

"Ini dapat dilihat dalam keputusan yang dibuat untuk memberi fokus kepada pembangunan tenaga hidor boleh diperbaharui sebagai salah satu pemboleh unutk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) pada 2009," jelas beliau. 

 

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, kerjasama itu menandakan komitmen Petronas bagi memastikan kebolehcapaian sumber tenaga yang lebih bersih pada ketika kumpulan melalui peralihan tenaga global.

 

"Perjanjian import tenaga dengan Sarawak Energy ini adalah satu penyelesaian yang perlu kerana perkongsian ini membolehkan kami meningkatkan kemapanan dalam operasi di PLC dan mengurangkan pelepasan gas hijau sejajar dengan aspirasi Petronas bagi mencapai Pelepasan Sifar Bersih Karbon menjelang 2050," katanya. 

 

Bekalan tenaga elektrik di Sarawak kebanyakannya adalah tenaga diperbaharui ekoran peralihan Sarawak kepada sumber tenaga diperbaharui di bawah inisiatif SCORE. 

 

Setakat ini, negeri tersebut merekodkan pengurangan karbon bagi penjanaan kuasa tenaga sebanyak 68% sejak 2011 hingga 2019. - DagangNews.com