Petronas tidak bayar tunai kepada negeri Semenanjung untuk pengeluaran petroleum | DagangNews Skip to main content

Petronas tidak bayar tunai kepada negeri Semenanjung untuk pengeluaran petroleum

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Petronas tidak membuat sebarang bayaran tunai untuk pengeluaran petroleum kepada mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia termasuk kepada Kelantan.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan Kelantan.

 

"Bagaimanapun, memandangkan lokasi medan petroleum adalah berdekatan perairan Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat lapor Berita Harian.

 

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh Kerajaan Kelantan.

 

Tengku Zafrul berkata, pembayaran dalam bentuk wang ihsan itu adalah bagi pelaksanaan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri berkenaan.

 

Media sebelum ini melaporkan pada 2019, Kelantan menerima sebanyak RM28 juta wang ihsan daripada Kerajaan Persekutuan.

 

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, dipetik sebagai berkata wang berkenaan dimasukkan terus kepada Kelantan, berbanding sebelum itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).-Dagangnews.com