Petronas tingkat pelaburan dalam hidrogen | DagangNews Skip to main content

Petronas tingkat pelaburan dalam hidrogen

 

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan meningkatkan pelaburan dalam hidrogen, sebagai sebahagian daripada dorongan global ke arah menghasilkan tenaga bebas karbon walaupun firma itu mengembangkan portfolio dalam gas asli cecair (LNG) dan tenaga boleh diperbaharui. 


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam Dialog Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC berkata, trajektori ke arah hidrogen sedang dipergiatkan.


"Kebiasaannya, pelanggan-pelanggan yang sama di pasaran baharu muncul Asia juga yang berkeinginan dan banyak meminta agar pasaran tenaga hidrogen ini dibentuk," katanya menurut laporan Reuters. 

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz


Petronas yang merupakan pengeksport LNG keempat terbesar dunia, bulan ini mengumumkan matlamatnya untuk muncul pelepasan sifar gas rumah hijau menjelang 2050 dan turut merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam tenaga diperbaharui.  


Bagaimanapun, Muhammad Taufik berkata, cabaran dalam hidrogen ialah menguruskan rantaian bekalan dan logistik. 


"Usaha Petronas menerusi memorandum persefahaman dan kerjasama dengan pemain teknologi adalah bagi memastikan ia mempunyai modal dan kepakaran yang bersesuaian bagi meneruskan agenda hidrogen," katanya. 


Pada dialog tersebut, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun berkata, ia telah mempunyai formulasi dalam strategi hidrogen tetapi harga perlu jatuh di paras yang sama seperti LNG dalam tempoh dua dekad akan datang.


"Kami percaya hidrogen memiliki peranan penting dalam mencapai peneutralan karbon dan sangat penting dalam sektor dekarbonisasi yang sukar dijana elektrik," jelas Pengarah Bahagian Minyak dan Gas Asli METI, Takeshi Soda. 


Dalam pada itu, menurut eksekutif industri, trauma terhadap ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 telah mendorong syarikat-syarikat tenaga meningkatkan pelaburan dalam tenaga diperbaharui, hidrogen dan alternatif karbon rendah tetapi bahan api fosil akan menjadi perniagaan yang dominan dalam pada masa akan datang. - DagangNews.com