Petugas Khas KSM bantu pekerja Malaysia di Singapura | DagangNews Skip to main content

Petugas Khas KSM bantu pekerja Malaysia di Singapura

Oleh YEO LI SHIAN

lishian@dagangnews.com

 

 

PUTRAJAYA, 28 Okt. – Kementerian Sumber Manusia (KSM) bakal menubuhkan satu Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu kenaikan bilangan rakyat Malaysia yang kehilangan kerja di Singapura akibat penularan wabak COVID-19.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan, kerajaan memandang serius perkara ini dan berharap penubuhan jawatankuasa khas itu dapat membantu membangunkan pangkalan data yang menyeluruh mengenai pekerja-pekerja Malaysia di Singapura.

Saravanan

“Penubuhan jawatankuasa ini diyakini dapat membantu kerajaan mengenal pasti strategi dan pelan tindakan yang lebih baik untuk mencari jalan penyelesaian bagi mereka yang terkesan akibat pandemik ini,” kata Saravanan dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa khas ini akan dianggotai oleh beberapa kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kerajaan Negeri Johor, Institut Maklumat & Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga akan menyertai jawatankuasa khas tersebut.

Beliau menambah, mesyuarat jawatankuasa khas ini dijangka akan diadakan pada 30 Oktober 2020 dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia.

Sejak penularan dan peningkatan kes wabak COVID-19 di Singapura, kelangsungan hidup kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu terjejas akibat pemberhentian kerja secara mendadak.

“Ramai pekerja Malaysia di negara itu mulai terjejas apabila sesetengah majikan terus memberi notis penutupan sementara syarikat sementara bermula Februari lalu,” jelasnya.

Berdasarkan anggaran, kira-kira 400,000 orang rakyat Malaysia kini bekerja di Singapura dan hamper 100,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu manakala seramai 300,000 orang lagi menetap di Singapura. – DagangNews.com