Pharmaniaga bekerjasama dengan NIBM jalankan R&D vaksin | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga bekerjasama dengan NIBM jalankan R&D vaksin

 

 

 


KUALA LUMPUR 1 Nov - Pharmaniaga Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Research Centre Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) untuk bekerjasama dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pharmaniaga berkata, kerjasama itu termasuklah dari segi penyediaan perkhidmatan teknikal, perindustrian dan input pihak berkepentingan serta mana-mana kerjasama yang dipersetujui oleh pihak-pihak berkenaan.

 

"Kerjasama dengan NIBM untuk penyelidikan dan pembangunan vaksin akan menjadi platform bagi Pharmaniaga untuk mengukuhkan perniagaan vaksinnya," katanya hari ini.

 

Secara dasarnya, NIBM ditubuhkan sebagai pemangkin untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam industri bioteknologi Malaysia sejajar dengan Dasar Bioteknologi Negara. 

 

Ia bertanggungjawab untuk mengalakkan ekonomi berasaskan pengetahuan dengan mewujudkan ekosistem penyelidikan berdaya mapan, pembangunan dan inovasi dan pengkomersialan membabitkan sektor pertanian, farmaseutikal dan bioteknologi genomik menerusi 3 institut di bawahnya iaitu Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI), Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPHARM) dan Institut Genom Malaysia (MGI). 

 

NIBM menjalin pelbagai kerjasama dengan pihak lain dalam usahanya untuk memangkinkan dan mempercepatkan pertumbuhan industri bioteknologi Malaysia yang kompetitif.

 

Pharmaniaga berkata, MoU tersebut berkuat kuasa mulai 1 November 2021 dan akan kekal bagi tempoh 3 tahun atau sehingga kerjasama itu dimansuhkan, atau yang mana lebih awal.

 

Malah, kerjasama ini tidak menjejaskan hasil kumpulan dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, tambahnya. - DagangNews.com