Pharmaniaga peruntuk RM295 juta bagi perbelanjaan modal kumpulan TK22 | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga peruntuk RM295 juta bagi perbelanjaan modal kumpulan TK22

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis -  Pharmaniaga Bhd memperuntukkan RM295 juta untuk perbelanjaan modal kumpulan dalam tahun kewangan 2022 (TK2022), berbanding RM106.9 juta pada TK2021. 

 

Ketua Pegawai Kewangan Norai'ni Mohamed Ali berkata, peruntukan perbelanjaan modal itu sebahagian besarnya adalah untuk logistik dan pengedaran yang menyumbang 61%, diikuti oleh pembuatan (36%) dan Indonesia (3%).

 

“Bagi logistik dan pengedaran, kami sedang melihat pembesaran gudang baharu, pusat pengedaran berpusat untuk sektor swasta, pendigitalan, pembelian perisian untuk projek ubat-ubatan jangka panjang dan sistem migrasi serta pembelian dan penggantian gudang dan peralatan pejabat sedia ada," kata beliau dalam taklimat media secara maya mengenai keputusan syarikat untuk suku ketiga (S3) berakhir 30 September 2021 hari ini. 

 

Manakala bagi pembuatan, beliau berkata kumpulan itu akan terus menggunakan separuh daripada peruntukan untuk melabur dalam vaksin halal dan projek insulin halal. 

 

"Tidak lupa kepada rakan kami di Indonesia, kami juga melabur dalam automasi dan pendigitalan serta menaik taraf pelbagai peralatan komputer dan makmal," tambahnya. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kumpulan akan memberi penekanan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan yang juga tonggak utama pertumbuhan Pharmaniaga, membolehkannya mengembangkan saluran produk dan menyediakan penyelesaian yang lebih baik kepada negara. 

 

Zulkarnain berkata Pharmaniaga akan meneruskan mengisi dan menghabiskan pembuatan vaksin Sinovac COVID-19 bagi  memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa, kerana kumpulan itu mempunyai kepakaran, keupayaan dan kemudahan serta sokongan penuh daripada rakan kongsi teknikal dari luar negara. 

 

“Pada masa yang sama, kami akan memulakan penubuhan kilang pembuatan insulin yang akan ditempatkan di tapak Pharmaniaga LifeScience kami yang berteknologi tinggi di Puchong, sementara penubuhan kilang vaksin halal pertama di dunia sedang berjalan di landasan yang betul. 

 

“Mengenai urusan logistik dan pengedaran kami dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kami akan meneruskannya dan pada masa ini kami sedang berunding dengan kerajaan untuk memuktamadkan konsesi/kontrak baharu,” tambahnya. 

 

Keuntungan bersih Pharmaniaga bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 meningkat kepada RM49.83 juta daripada RM1.44 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil melonjak kepada RM2.13 bilion daripada RM624.8 juta disebabkan pertumbuhan positif merentasi konsesi kumpulan, bukan konsesi dan perniagaan di Indonesia. -DagangNews.com