Pharmaniaga umum perubahan jawatan, Shazalli Ramly dilantik sebagai pengarah bukan bebas | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga umum perubahan jawatan, Shazalli Ramly dilantik sebagai pengarah bukan bebas

KUALA LUMPUR 27 Jan - Pengerusi Pharmaniaga Bhd., Datuk Seri Shazalli Ramly akan dilantik sebagai pengarah bukan bebas manakala Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique akan mengambil alih jawatannya. 

 

Perubahan tersebut berkuat kuasa mulai 1 Februari 2022, menurutnya dalam beberapa makluman berasingan di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Syarikat farmaseutikal itu turut melantik Zulkifli Jaafar sebagai Pengarah Eksekutif berkuat kuasa 1 Mac 2022 daripada jawatannya sebelum itu sebagai pengarah bebas. 

 

Zainal Abidin, 63 yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang turut memegang beberapa jawatan, antaranya, Pengarah Bukan Eksekutif Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. sejak 2020. 

 

Malah, beliau juga merupakan Pengarah Clock Tower Hotel Sdn. Bhd. sejak 2013 dan Pengarah QI - pmc Sdn. Bhd. (2005).

 

 

Shazalli Ramly
Shazalli Ramly

 

 

Sementara itu, Shazalli, 60, pula sebelum ini dilantik sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Pharmaniaga pada 1 Mac 2021 selepas beliau dilantik sebagai pengarah urusan Boustead Holdings Bhd., 3 bulan sebelumnya.

 

Beliau juga telah dilantik ke lembaga pengarah Boustead Heavy Industries Corp. Bhd. sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif.

 

Sebelum memegang jawatan sekarang, Shazalli merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia mulai April 2017 hingga Jun 2018. 

 

Malah, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Serantau dan Naib Presiden Eksekutif Korporat Axia Group mulai 2016 hingga 2017.

 

Shazalli memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Celcom Axiata Bhd. selama 10 tahun mulai 2005 hingga 2016. 

 

Dalam pada itu, Zulkifli, 49, merupakan rakan kongsi Messrs Wan Emiliana sejak 2021 hingga sekarang, Pengerusi Idaman Pharma Manufacturing Sdn. Bhd. (sejak 2020) dan Penasihat Undang-undang Syarikat Milik Kerajaan (GLC)  Negeri Johor sejak 2016 hingga sekarang. 

 

Setakat 2.49 petang, harga saham Pharmaniaga kekal tidak berubah pada 71.5 sen dengan 306,600 saham diniagakan. - DagangNews.com