Pihak swasta, pengkarya perlu main peranan penting kembangkan ekonomi kreatif | DagangNews Skip to main content

Pihak swasta, pengkarya perlu main peranan penting kembangkan ekonomi kreatif

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Kreatif Kuala Lumpur (KUL.CEF) secara maya hari ini.
 

 


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Forum Ekonomi Kreatif Kuala Lumpur (KUL.CEF) hari ini kembali buat kali kedua secara maya bagi memulakan Art In The City (AITC 2021). 

 

Program itu menyaksikan penyertaan melebihi jangkaan, iaitu 566 peserta daripada pelbagai latar
belakang dalam majlis yang dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

Dalam ucapannya, Annuar berkata, sejajar dengan komitmen kerajaan terhadap ekonomi kreatif, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) baru-baru ini meletakkan industri kreatif sebagai industri berimpak tinggi untuk pertumbuhan ekonomi. 

 

Secara keseluruhan, katanya, RMKe-12 bertujuan meningkatkan sumbangan sektor kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir 20% dalam tempoh 5 tahun akan datang daripada RM26.8 bilion pada 2020 kepada RM31.9 bilion menjelang 2025. 

 

"Dalam hal ini, kerajaan perlu memainkan peranan besar dalam merealisasikan visi ini. Selain daripada penggubal dasar negara, pihak swasta dan pengkarya kandungan kreatif turut memainkan peranan penting dalam mengembangkan ekonomi kreatif negara terutama ketika pasca COVID-19," katanya.

 

Dianjurkan oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (Cendana), sebuah unit di bawah MyCreative Ventures, dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, KUL.CEF mempamerkan individu tersohor dalam bidang ekonomi budaya dan kreatif, penggubalan dasar kerajaan, pelancongan, kandungan kreatif, seni kraf, seni visual, tarian dan bisnes melalui pembentangan ucap tama khas dan perbincangan ahli panel. 

 

KUL.CEF tahun ini antara acara meraikan United Nations International Year of Creative Economy for Sustainable Development, dalam menyokong hala tuju Rakan Bersama Cendana, di World Conference of Creative Economy, yang bakal berlangsung di Dubai Expo pada 7 hingga 9 Disember 2021 dengan tema nclusively Creative: Curating the Future.

 

Sementara itu, Pengerusi MyCreative Ventures, Azmi Said berkata, dalam usaha memulihkan seni dan budaya serta industri kreatif, MyCreative Ventures dan Cendana terus memainkan peranan melindungi perniagaan dan pekerjaan kreatif, mengekalkan dan menghidupkan kembali kemahiran dan bakat.

 

"Ia turut mendorong pengiat kreatif ke platform baharu melalui pelbagai penggunaan teknologi. Usaha ini akan diperkukuhkan lagi dengan transformasi MyCreatives yang akan datang untuk menambah baik industri ekonomi kreatif,” ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehudin pula berkongsi pandangannya bahawa potensi ekonomi budaya dan kreatif Malaysia sangat meluas dan Cendana mengakui peranan penting yang dimainkan oleh sektor budaya dan industri kreatif dalam pembangunan ekonomi.

 

"Kami menyokong seni dan budaya sebagai aspek penting dalam mencapai pemulihan dan pertumbuhan negara," jelasnya. - DagangNews.com