Pinda Akta FINAS 1981, saran CENBET | DagangNews Skip to main content

Pinda Akta FINAS 1981, saran CENBET

finas

KUALA LUMPUR 24 Julai - Sudah tiba masanya Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Akta 1981 dipinda kepada satu definisi undang-undang yang lebih sesuai pada masa kini.

CENBET dalam satu kenyataan berkata, undang-undang tersebut dilihat terlalu lama dan memerlukan satu definisi yang lebih jelas.

"Hari ini hampir semua orang boleh terlibat sebagai pencipta kandungan. Dengan hanya menggunakan telefon pintar, kami dapat mencipta pelbagai kandungan seperti iklan, pesanan khidmat masyarakat, tutorial (tutoran) dan banyak lagi.

"Kami bukan sahaja dapat menghasilkan, tetapi kami juga menerbitkan melalui pelbagai platform digital seperti YouTube, Facebook, Instagram dan banyak lagi," jelas CENBET.

Akta FINAS 1981 (Akta 244) telah diluluskan di parlimen pada 1981 dan telah digunakan sejak sekian lama di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengeluarkan kenyataan berhubung kesalahfahaman masyarakat mengenai cadangan penambahbaikan akta tersebut.

Jelasnya, akta terbabit perlu ditambah baik seiring dengan perkembangan media sosial masa kini dan tidak berniat untuk menyekat kebebasan peribadi individu di media sosial.

Tambah CENBET lagi, sudah tiba masanya ia dikaji dan disemak semula bagi mencerminkan realiti semasa.

"Dengan penguatkuasaan undang-undang itu, ia akan memberi gambaran seolah-olah kebebasan media akan disekat seperti sebelum ini. Tapi kami pasti itu tidak akan berlaku kerana 
Datuk Saifuddin Abdullah pada Mei lalu telah menyatakan bahawa beliau akan memberi kebebasan kepada media.

"Kami mengalu-alukan penjelasan menteri berhubung perkara ini kerana beliau dan kementeriannya akan mengkaji semua undang-undang tersebut. Kami juga berharap menteri akan melibatkan semua pihak yang berkepentingan dalam rundingan awam sebagai langkah kajian," jelas CENBET. - DagangNews.com