Skip to main content

Pindaan Akta Persaingan 2010 pastikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif - PM

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada majlis Persidangan Undang-Undang Persaingan 2022 di Kuala Lumpur pada 23 Jun 2022.

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pindaan Akta Persaingan 2010 adalah untuk memastikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, akta itu yang kini dalam proses pindaan terutama berhubung pengenalan peruntukan rejim kawalan penggabungan akan memberikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kuasa untuk menilai dan menyiasat transaksi penggabungan yang berpotensi menyebabkan penumpuan pasaran dan boleh menjurus kepada monopoli dalam pasaran.

 

“Kita semua tahu karenah monopoli yang sentiasa menimbulkan keresahan dalam kalangan Keluarga Malaysia, lebih-lebih lagi apabila monopoli ini cuba terusmenerus mengganggu persaingan serta menghalang kemasukan pesaing kecil dalam pasaran.

 

“Pindaan terhadap Akta Persaingan dan Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia ini akan memberi kuasa kepada MyCC untuk menangani isu persaingan yang lazim dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah dengan berkesan dan cekap,” katanya pada ucapan Persidangan Undang-Undang Persaingan 2022 MyCC ketiga di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. - DagangNews.com