Pinjaman dijangka kembali rancak tahun ini - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pinjaman dijangka kembali rancak tahun ini - MIDF Research

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Pertumbuhan pembiayaan dijangka meningkat tahun ini terutama separuh kedua 2021 setelah merekodkan kemerosotan pada November lalu. 

 

Selain pembiayaan pengguna, MIDF Research juga menjangkakan segmen perniagaan juga akan memacu pertumbuhan yang akan merangsang aktiviti perniagaan apabila ekonomi kembali rancak pada suku kedua. 

 

"Untuk itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pembiayaan pada 5% bagi tahun ini," menurut Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yassin Yusof dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan data Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan pembiayaan sistem perbankan setakat November merosot kepada 3.8% berbanding 4.3% pada bulan sebelumnya. 

 

Penurunan ini disebabkan pertumbuhan pembiayaan perniagaan yang lemah ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), menjadikan perniagaan lebih berhati-hati.   

 

Pertumbuhan pembiayaan bagi segmen perniagaan berkembang 1.6% kepada RM795.9 bilion berbanding 2.4%  kepada RM799.4 bilion pada Oktober 2020. 

 

Mengenai aset perbankan, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem perbankan sudah menunjukkan trend penurunan. 

 

Bagaimanapun, seperti dijangka MIDF Research, ia meningkat semula kepada 1.5% pada November (berbanding 1.43% pada Oktober) untuk bulan kedua berturut-turut selepas moratorium menyeluruh berakhir.

 

"Kami mengunjurkan GIL akan meningkat beberapa bulan akan datang sehingga suku pertama 2021 memandangkan pelaksanaan PKP 2.0 hanya memberi negatif impak dalam tempoh pendek. 

 

"Tetapi, kami tidak menjangkakan nisbah GIL akan mencecah paras 1.7% dengan mengambil kira moratorium bersasar dan program bantuan bayaran semula," katanya. 

 

Malah, firma itu percaya, institusi perbankan mempunyai perlindungan mencukupi berikutan meningkatnya perlindungan terhadap kerugian daripada pinjaman. 

 

Prestasi kewangan bagi sektor perbankan amat penting yang menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi. 

 

Sehubungan itu, aktiviti ekonomi akan mewujudkan permintaan kepada perkhidmatan kewangan seperti pembiayaan perniagaan, penggunaan dan transaksi deposit. 

 

"Mengambil kira semua ini, kami mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara akan pulih tahun ini," katanya. - DagangNews.com