Skip to main content

PKNS, Bank Islam jalin kerjasama tawar kemudahan pembiayaan perumahan

Datuk Mahmud Abbas (kiri) dan Mizan Masram pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persafahaman (MoU) di antara PKNS dan Bank Islam. - Gambar BERNAMA
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SHAH ALAM 15 Ogos - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menawarkan kemudahan Pembiayaan Perumahan-i Bank Islam berdasarkan prinsip 'Tawarruq'.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, MoU tersebut bertujuan memudahkan para pelanggan mendapatkan pembiayaan perumahan sama ada untuk diduduki mahupun hartanah untuk pelaburan.

 

Beliau berkata, Bank Islam menawarkan pelbagai pakej pembiayaan perumahan menarik untuk hartanah kediaman yang masih dalam peringkat pembinaan atau telah siap dibina.

 

Jelasnya, kemudahan pembiayaan perumahan yang disediakan Bank Islam adalah sehingga 35 tahun atau sehingga usia pemohon mencecah 70 tahun.

 

"PKNS cakna akan kebimbangan masyarakat untuk membeli kediaman ketika ini terutamanya dalam waktu ketidaktentuan ekonomi semasa dan kami juga maklum akan kesulitan yang dihadapi mereka untuk mendapatkan pembiayaan perumahan. 

 

"Oleh itu, PKNS tangkas mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama bersama pihak perbankan untuk memudahkan proses pembiayaan dan menawarkan pakej yang berbaloi untuk merealisasikan impian para pelanggan kami untuk memiliki kediaman idaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, MoU itu ditandatangani Mahmud mewakili PKNS dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Runcit Bank Islam, Mizan Masram.

 

Sementara itu, Mizan pula berkata, Bank Islam juga melihat kerjasama strategik dua-hala itu adalah bukti komitmen pihak institusi kewangan dalam menyediakan pilihan pembiayaan perumahan patuh syariah kepada masyarakat.

 

“Kami yakin dengan potensi yang ada pada pasaran hartanah negara terutamanya dengan peralihan ke fasa endemik yang memperlihatkan aktiviti ekonomi kembali aktif. Sehubungan itu, kami amat berbesar hati kerana dapat memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dengan PKNS menerusi penjanjian persefahaman ini. 

 

“Tidak hanya tertumpu dalam menawarkan kemudahan bagi membolehkan pelanggan mendapatkan rumah idaman mereka, kerjasama ini juga menyediakan akses khidmat nasihat perancangan kewangan kepada pelanggan bagi membantu pengurusan kewangan mereka," katanya.

 

Pembiayaan ini ditawarkan untuk pelbagai produk-produk hartanah PKNS yang sedang dan telah siap dibina merentasi seluruh kawasan di negeri Selangor. Antaranya, Puteri Soraya dan Puteri Aira di Kota Puteri; Azhara, Lavender dan Cassia di Antara Gapi; Rafflesia di Bernam Jaya; Anggun Kirana dan Hijauan Enklaf di Alam Nusantara dan banyak lagi.

 

Selain itu, antara projek yang sedang menerima permintaan tinggi adalah Residensi Aurora yang terletak di Selangor Cyber Valley, sebuah penempatan bandar baharu yang dibangunkan PKNS sebagai sebuah bandar pintar lengkap dengan pelbagai kemudahan. - DagangNews.com