Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Feb. - 'Terkejut' dengan pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula diikuti proklamasi darurat menyaksikan pasaran menjunam 3.7% sepanjang Januari.
Indeks FBM KLCI yang jatuh 60 mata pada bulan tersebut ditutup pada 1,566 mata, paras terendah sejak November 2020 yang ditutup 1,563 mata, menurut CGS-CIMB.
Sepanjang Januari juga, pasaran merelakan aktiviti pengambilan untung selepas 2 bulan berturut-turut pada November dan Disember meraih untung sehingga 160 mata atau 10.9%.
Selain itu, sekatan terhadap kawalan jualan singkat (RSS) yang ditarik semula mulai 1 Januari turut menyebabkan pasaran kerugian 24 mata atau 1.5% pada dagangan hari pertama 2021 apabila kaunter pengeluar sarung tangan getah menjadi sasaran jualan pendek.
Bagaimanapun, KLCI mampu menanggung semua kerugiannya apabila minggu pertama berakhir.
"Sentimen pasaran sepanjang bulan lalu terjejas ekoran pengumuman PKP 2.0 dan juga pengisytiharan darurat yang menyaksikan Parlimen digantung sehingga 1 Ogos 2021.
"Di samping itu, lonjakan jangkitan COVID-19 dan laporan mengenai isu politik negara turut menjadi antara faktor, apabila tahun 2021 baru memasuki minggu kedua," katanya dalam nota kajian hari ini.
Daripada 13 indeks sektor, hanya 2 sahaja yang merekodkan pulangan positif iaitu teknologi dan penjagaan kesihatan.
Sektor yang mencatat prestasi buruk pada Januari ialah pembinaan, tenaga dan hartanah.
"Malah, KLCI juga muncul pasaran yang mencatat prestasi buruk dalam kalangan pasaran MIST (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand).
"Tetapi, Malaysia muncul pasaran terbaik MIST pada tahun lalu," katanya.
Menurut CGS-CIMB, dari segi jumlah purata dagangan harian, ia jatuh 29% kepada 7.1 bilion berbanding 9.9 bilion unit yang direkodkan pada Disember disebabkan dagangan rendah oleh pelabur runcit.
"Nilai purata dagangan harian susut 4% kepada RM5.1 bilion berbanding RM5.32 bilion bulan sebelumnya disebabkan aktiviti dagangan yang rendah oleh pelabur runcit, institusi dan penama.
"Namun, nilai purata dagangan meningkat 143% tahun ke tahun pada Januari," katanya.
Jelasnya, pasaran ekuiti yang lemah telah mengurangkan pasaran modal papan utama Bursa Malaysia sebanyak RM62.5 bilion (susut 3.5%) kepada RM1.7 trilion setakat akhir Januari 2021, sejajar dengan kerugian yang dialami KLCI.
Sepanjang Januari, pelabur asing juga menjual RM835 juta ekuiti tempatan, iaitu 40% lebih tinggi berbanding RM596 juta pada Disember 2020.
"Ini menjadikan aliran keluar asing terkumpul sejak 2010 meningkat kepada RM34.2 bilion," katanya.
Bagaimanapun, CGS-CIMB menjangkakan pelancaran vaksin COVID-19 pada akhir suku pertama 2021 dan hasil korporat yang mantap akan terus menyokong pasaran pada bulan-bulan akan datang.
"Kelemahan dolar AS akan mendorong semula kemasukan pelabur asing dalam pasaran baharu muncul termasuk Malaysia.
"Untuk itu, kami mengekalkan jangkaan KLCI pada akhir tahun ini pada 1,759 mata dan saham yang menjadi pilihan kami ialah Inari, Public Bank dan Telekom Malaysia," katanya.
Menurut firma itu, pada Februari, pelabur akan menanti keputusan kerajaan berhubung PKP 2.0 seterusnya dan prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Selain itu, situasi politik semasa turut menjadi tumpuan mereka termasuk musim kewangan suku keempat 2020 dan sejauh mana program vaksinasi COVID-19. - DagangNews.com